Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.04.22 Elak pembaziran makanan di bulan Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Dengan hasrat bagi meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat tentang amalan mengelak pembaziran makanan di bulan suci Ramadan, Green Brunei telah mengadakan taklimat bertajuk Eco-Ramadan: Love Food, Hate Waste secara maya dengan penglibatan lebih 60 peserta, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku pengasas bersama Green Brunei.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa antara lain melahirkan rasa risau dengan sikap terlebih membeli makanan yang menurutnya salah satu isu yang harus ditangani terutamanya pada bulan Ramadan dan ia dapat dikurangkan dengan memupuk tabiat yang lebih baik dalam kehidupan seharian.

“Pembaziran makanan adalah satu isu yang semakin menjadi-jadi di negara kita. Pada 2019, kira-kira 32 peratus makanan terbuang telah memenuhi tapak pembuangan sampah di negara ini. Apabila makanan terbuang mereput, ia akan mengeluarkan gas rumah hijau, yang boleh menjadi punca perubahan iklim.

“Oleh itu, kecenderungan terlebih membeli makanan perlu dibendung dan dielakkan dengan segera iaitu dengan mempraktikkan tabiat yang lebih baik dalam kehidupan seharian terutamanya pada bulan Ramadan ini,” tekannya lanjut.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pentadbiran, Kilang ReRoot, Dayang Hazirah Zainuddin yang antaranya menyentuh mengenai isu pembaziran yang berlaku pada bulan Ramadan yang mulia di mana orang ramai sering didapati membeli pelbagai makanan untuk juadah sungkai sehingga menyebabkan tabiat pembaziran yang sekali gus membawa kepada impak negatif kepada alam sekitar.

Selain itu, taklimat ini juga membahaskan beberapa topik seperti maklumat am pembaziran makanan dan kitaran makanan, serta menerokai dan memahami punca sebenar penyebab pembaziran makanan.

Di samping itu, beliau turut mengongsikan artikel-artikel menarik mengenai isu pembaziran makanan di negara-negara lain.

Selain daripada membendung pembaziran makanan, taklimat juga menyelami perbincangan dalam aspek pengurangan pembaziran makanan dengan memupuk
kesedaran, mengubah cara hidup, dan muhasabah diri.

Para peserta turut menimba ilmu pengetahuan mengenai pengomposan dan food banks.


(Sumber berita: Media Permata)


10.04.22 Elak pembaziran makanan di bulan Ramadan