BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-20, berbagai isu pandangan dan permasalahan yang dihadapi oleh orang ramai telah pun disampaikan dan telah pun dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-menteri dengan baik dan jelas.
Ini bukanlah setakat di sini sahaja bahkan akan diteruskan dari masa ke masa melalui permuzakarahan dan perjumpaan bersama pihak-pihak yang berkenaan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong semasa menyampaikan ucapan penangguhannya pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN, yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.
Yang Berhormat melahirkan harapan agar semua perbincangan seperti ini dapat diteliti secara mendalam dan untuk diambil tindakan sewajarnya. Mengenai usaha meningkatkan penghasilan produk-produk tempatan yang sedia ada di negara ini, Yang Berhormat selaku pemimpin akar umbi menyeru bagi mereka yang terlibat supaya akan dapat meningkatkan lagi hasil-hasil tersebut.
Ini ujar Yang Berhormat, termasuklah meningkatkan sokongan kepada Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dalam usaha mengembangkan 1 Kampung 1 Produk secara berterusan dan mengharapkan penglibatan para belia sebagai sukarelawan dalam program MPK ini.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua kerana sekali lagi dapat memimpin dan memandu Persidangan MMN di dewan mulia ini dengan penuh kebijaksanaan dan dapat menjadikan berjalan dengan lancar dalam suasana yang penuh muhibah. Inilah cara 'kitani' calak orang Brunei berpandukan konsep Melayu Islam Beraja.
Yang Berhormat juga merakamkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga atas agensi-agensi kerajaan yang telah memberikan respons bagi menyokong dan membantu pembangunan dan sosioekonomi negara dari semua aspek untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)