Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Industri pertanian berpotensi kembangkan ekonomi negara

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Sektor pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada negara. Sektor ini mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan petani.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh bin Haji Othman menyatakan perkara itu semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

 

Yang Berhormat seterusnya menambah bahawa hasil pertanian yang dituai oleh petani kecil boleh menjadi penyumbang rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara dapat menambahkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melalui pengeksportan tanaman, secara tidak langsung pengaliran wang dari luar negara dapat ditambahkan dan memanfaatkan ekonomi negara.

 

Pendapatan yang stabil dari bidang pertanian ujar Yang Berhormat, akan membantu negara menghadapi masalah kemelesetan ekonomi. Selain itu, perkembangan pesat dalam sektor pertanian mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di Negara Brunei Darussalam.

 

“Sejak zaman dahulu lagi pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi negara. Pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Justeru itu, pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan perlu melihat kepentingan ini dengan memberikan bimbingan berterusan terutama sekali di dalam memberi pendedahan kepada teknologi terkini kepada petani dan peladang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil yang lebih baik," ujar Yang Berhormat.

 

Selain daripada itu, penguatkuasaan harga barang bersubsidi seperti baja hendaklah sentiasa dipantau agar para peladang dan petani tidak dibebankan dengan kenaikan harga yang melampau. Pemberian bantuan dan insentif daripada pihak kerajaan juga tambahnya, dilihat penting ke arah menggalakkan para usahawan baru berkecimpung di dalam sektor pertanian.

 

“Semua pihak hendaklah melihat kepentingan sektor pertanian dan sektor hijau ini sebagai berpotensi untuk dimajukan, kita harus bersama-sama bak kata pepatah 'bagai aur dengan tebing' supaya sektor ini mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya. Kerajaan sudah membuka jalan seluas-luasnya tentang kepentingan industri ini dan terus berusaha untuk menarik lebih ramai rakyat Negara Brunei Darussalam khususnya generasi muda turut menceburinya," jelas Yang Berhormat lagi.

 

Yang Berhormat juga menambah, jika kita majukan pertanian, negara akan terus bertambah maju sekali gus mampu memantapkan ekonomi negara di dalam sektor bukan minyak dan gas.

 

Dalam RKN-12 kerajaan memperuntukkan sebanyak BND43,670,939 bagi mengukuhkan sekuriti makanan, dalam perkara ini Yang Berhormat mengharapkan agar kajian-kajian diteruskan bagi menghasilkan benih-benih padi yang lebih baik dan mampu menghasilkan kapasiti beras tempatan yang konsisten.

 

Pembukaan tempat-tempat strategik dan penggunaan teknologi penanaman padi yang terkini terang Yang Berhormat, membolehkan negara mencapai tahap sekuriti makanan yang dihasratkan.

 

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24 Industri pertanian berpotensi kembangkan ekonomi negara