Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

01.04.22 BIBD mulakan inisiatif tanam pokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah memulakan inisiatif penanaman pokok seluruh negara bersempena Hari Antarabangsa Hutan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, inisiatif itu diadakan sebagai sebahagian daripada Kempen Negara Mampan BIBD, yang dipermudahkan oleh Community for Brunei dan bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk menentang perubahan iklim.

Hari ini, sebanyak 20 pokok telah ditanam oleh sukarelawan dan pihak yang berkepentingan di ke empat daerah.

Hadir untuk merasmikan inisiatif itu di BIBD Connects Lambak ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengasas Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin serta Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

Mengulas mengenai acara itu, Hajah Noraini berkata bahawa inisiatif itu merupakan satu daripada pelbagai aktiviti yang akan dijalankan oleh BIBD dalam usaha untuk melaksanakan komitmen di bawah Rangka Kerja Kemapanan BIBD.

Beliau berkata bahawa lebih banyak pokok akan ditanam dalam tempoh enam bulan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong matlamat Net Zero Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei menjelang 2050 serta komitmen global seperti Kempen 1 Trilion Pokok World Economic Forum dan UN Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030.

Sebagai rakan kongsi dalam perkembangan bagi sebuah masa hadapan mapan negara, BIBD ingin melaksanakan lebih banyak inisiatif kolaboratif dalam usaha untuk memastikan generasi masa hadapan akan dapat hidup di dunia yang tidak lagi terjejas oleh kesan negatif perubahan iklim.

Kenyataan menyatakan bahawa wakil-wakil daripada rakan kongsi kempen seperti Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Majlis Belia Brunei, Green Brunei, Growth.BN, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan CIC Environment Services Sdn Bhd turut hadir bersama-sama dengan ahli pengurusan kanan BIBD dan pegawai-pegawai kerajaan.

Aktiviti penanaman pokok yang serupa juga diadakan di Skim Perumahan H40 di Lambak, Taman Rekreasi Bukit Beruang di Daerah Tutong, Skim Perumahan Negara Lorong Tengah di Seria dan Kawasan Kemajuan Pertanian Selangan di Daerah Temburong.

Inisiatif itu melibatkan pokok-pokok perhiasan bagi penangkapan karbon dan liputan tanah serta pokok herba atau buah-buahan bagi penangkapan karbon dan mempromosikan agri-preneurs (usahawan pertanian).

Kempen Negara Mampan adalah sebahagian daripada Siri SME360 BIBD dan bermatlamat untuk memupuk pembangunan rakan-eko (eco-allies) komuniti yang luas dalam usaha untuk mengerakkan Brunei ke arah sebuah ekonomi sirkular.


(Sumber berita: Media Permata)


01.04.22 BIBD mulakan inisiatif tanam pokok