Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

28.03.22 200 anak pokok ditanam sempena Hari Hutan Antarabangsa

BELAIT, 28 MAC – Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 23 Mac, Brunei LNG Sdn Bhd telah menanam sebanyak 200 anak pokok di Bukit Perumpong, Kampung Sungai Liang yang dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen penanaman pokok, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, yang diiringi oleh sekitar 70 orang ahli daripada Pasukan Kepimpinan Brunei LNG dan para kakitangan di Brunei LNG.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga Pengasas Bersama dan Pengarah Penglibatan Masyarakat Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari bersama sukarelawan Green Brunei serta pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan.

Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Farida melahirkan rasa terima kasih atas sokongan dalam menyampaikan komitmen Brunei LNG untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati dunia di mana perubahan iklim tidak lagi begitu ketara dan bersama-sama berharap usaha alam sekitar seperti acara sebegini akan dapat menyumbang untuk mengembalikan footprints yang telah ditinggalkan sejak abad yang lalu.

Selain itu, Hajah Farida turut mengongsikan penghargaannya terhadap Green Brunei atas kerjasama dengan Brunei LNG dan Pusat Perhutanan Brunei, Jabatan Perhutanan di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kerana memberikan sokongan mereka dalam inisiatif tersebut. 

Selepas ucapan berkenaan, kumpulan tersebut kemudiannya diberi taklimat cara menanam anak pokok dengan betul oleh warga Jabatan Perhutanan sebelum meneruskan penanaman 200 anak pokok di Bukit Perumpong.

Sementara itu, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyatakan bahawa rakan kongsi dalam menjalankan kempen sedemikian adalah yang pertama daripada banyak rancangan dengan Brunei LNG dan berharap dapat menyokong Brunei LNG dalam matlamat untuk menanam seribu pokok pada 2022 serta projek lain yang telah mereka rancang.

Majlis tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti alam sekitar yang dirancang oleh syarikat berkenaan untuk tahun ini bagi menyokong komitmen pihak kerajaan ke arah negara yang rendah karbon dan berdaya tahan dalam iklim melalui Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP).

Selain itu, kempen tersebut juga diadakan sebagai sebahagian daripada Heart Project Kindness: Volunteer, yang merupakan program sukarelawan yang bertujuan untuk mencipta peluang, memberi inspirasi dan melibatkan pekerja Brunei LNG untuk menyertai aktiviti kebaikan dan membuat perbezaan sepanjang tahun.

Sementara itu, dengan peralihan dunia kepada masa hadapan yang berdaya tahan dengan rendah karbon dan iklim, Brunei LNG mengesahkan komitmen mereka untuk menjadi rakan kongsi tenaga yang mampan dan bertanggungjawab bersama-sama dengan Negara Brunei Darussalam.

(Sumber berita: Media Permata)


28.03.22 200 anak pokok ditanam sempena Hari Hutan Antarabangsa