BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Jun. - Jabatan Perkhidmatan Air, Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menganjurkan Program Penjimatan Air bertempat di Sekolah Rendah Dato Marsal (SRDM), Lambak Kanan, pagi tadi.
Ia adalah sebagai usaha meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan penggunaan air secara berhemat.
Program tersebut dihadiri oleh 198 orang pelajar Tahun 3 hingga Tahun 5, bersama Guru Besar dan guru-guru sekolah berkenaan.
Turut hadir, Ahli-Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Awang Haji Daud menyentuh tentang kepentingan nilai air bersih dan menekankan sikap bertanggungjawab dalam pengurusan sumber air bermula sejak di peringkat sekolah.
Katanya, program juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara lebih dekat peranan mereka dalam menyokong usaha pemeliharaan sumber air negara melalui amalan yang bertanggungjawab dan beretika.
“Hari ini, kita akan belajar cara-cara mudah untuk berjimat air seperti menutup paip semasa menggosok gigi, menggunakan baldi semasa membasuh, dan tidak bermain air dengan sia-sia. Perkara-perkara ini nampak kecil, tetapi jika diamalkan setiap hari, ia boleh memberi kesan besar," ujarnya.
Yang Berhormat menegaskan, apa yang dipelajari hari ini bukan sahaja berguna untuk diri sendiri, tetapi juga boleh dikongsikan bersama keluarga di rumah, ataupun dengan kawan-kawan yang lain kerana jika satu rumah mula berjimat, satu kampung pun akan berubah.
Jika semua kampung di seluruh negara melakukan perkara yang sama tambahnya lagi, kita dapat membantu Negara Brunei Darussalam untuk kekal mempunyai bekalan air yang mencukupi dan bersih untuk generasi akan datang.
Antara pengisian program termasuk pembentangan pendidikan oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Air dan aktiviti interaktif bersama pelajar.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)