​PAHANG, Khamis, 12 Jun. - Mesyuarat Ke-8 AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) yang dihoskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat, Parlimen Malaysia, telah diadakan pada 10 Jun 2025 hingga 11 Jun 2025 di Pahang, Malaysia.
Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Parlimen Malaysia dan Presiden AIPA, Yang Berhormat Tan Sri Dato (Dr.) Johari bin Abdul dan telah dihadiri oleh lebih 50 orang perwakilan daripada parlimen-parlimen negara-negara ASEAN.
Sesuai dengan objektifnya, Mesyuarat Ke-8 AIPACODD telah membincangkan peranan parlimen dalam membentuk dasar yang berkesan dan menekankan kerjasama kolektif dalam kalangan parlimen Negara-negara ASEAN dalam memerangi ancaman dadah yang menjadi cabaran berterusan terhadap keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan serantau dalam merealisasikan aspirasi bersama ke arah mencapai ASEAN yang bebas dadah.
Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengongsikan laporan berkenaan situasi dadah di NBD dan usaha-usaha dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.
Perwakilan juga berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan cabaran-cabaran di rantau ini, yang telah dibentangkan oleh perwakilan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan ASEAN Senior Officials on Drugs Matters (ASOD) serta agensi penguatkuasaan dan kesihatan Malaysia.
Mesyuarat Ke-8 AIPACODD telah menimbangkan satu draf resolusi bertemakan 'Uniting Parliaments for An Inclusive and Sustainable ASEAN in Addressing Contemporary Drug Challenges', yang mana telah dipersetujui untuk dibentangkan semasa Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 yang akan diadakan pada bulan September nanti.