Majlis Mesyuarat Negara memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara untuk bermula pada Hari Isnin, 10 Safar 1447H bersamaan dengan 4 Ogos 2025M bertempat di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat Kedua ini akan menumpukan kepada Pertanyaan, Kenyataan Menteri dan Usul-Usul yang antaralain membincangkan agenda pembangunan negara melalui sesi perbahasan. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan berpeluang untuk membincangkan isu-isu semasa, cadangan dan pandangan terhadap isu-isu kepentingan rakyat dan negara.
Persidangan ini akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Mulia Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Ahli-Ahli MMN, yang terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan dan Ahli Yang Dilantik termasuk Orang-Orang Yang Bergelar, Orang-Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan, serta Wakil-Wakil Dari Daerah-Daerah, akan bersidang dalam suasana muafakat bagi meneliti pelbagai isu dan dasar dalam mencapai agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran Negara.
MAKLUMAT TAMBAHAN:
1. Akses Awam ke Persidangan
Sesi Persidangan bagi Mesyuarat Kedua ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbahasan dan perbincangan. Orang awam yang berminat dialu-alukan untuk menghadiri dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan bermula pada 4 Ogos 2025. Perkhidmatan peralihan bahasa dalam Bahasa Inggeris (translation services in English) juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.
2. Peraturan bagi Pelawat/Orang Awam
Pelawat dan orang ramai yang berminat untuk menghadiri Sesi Persidangan adalah dipohonkan untuk mematuhi beberapa peraturan dan garis pandu persidangan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara memasuki Dewan Persidangan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran sepanjang sesi berlangsung, termasuk:
- Kod Pakaian Rasmi – pakaian kemas dan sopan seperti yang dinyatakan dalam peraturan;
- Telefon bimbit perlu diaktifkan kepada mod senyap; dan
- Tidak dibenarkan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran.
3. Lawatan Sekolah/Institusi Pendidikan ke Persidangan
Institusi pendidikan dijemput untuk membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN termasuk proses perundangan negara dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Permohonan lawatan boleh dibuat melalui surat rasmi kepada Urusetia Majlis Mesyuarat Negara sekurang-kurangnya lima (5) hari sebelum tarikh lawatan.
4. Saluran Komunikasi
Rakaman persidangan harian boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9.00 malam bagi rakaman sesi pagi dan diikuti lagi pada pukul 11.00 malam bagi rakaman sesi petang.
Dokumen Rasmi persidangan seperti Penyata Rasmi (Hansard), Minit Mesyuarat dan Perintah Harian bolehlah diakses melalui laman sasawang www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn
Maklumat terkini dan perkembangan persidangan, juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi @legcobrunei
5. Maklumat Untuk Perhubungan
Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah dikemukakan kepada Urusetia Majlis Mesyuarat Negara:
Alamat:
Urusetia Majlis Mesyuarat Negara
Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Jalan Dewan Majlis, BB3910
Negara Brunei Darussalam
Telefon:
+673 2380501
Faks:
+673 2385500
Emel:
majlis.mesyuarat@jmm.gov.bn