Bahasa Melayu | English
Text size :
Hari Khamis, 26 Jun 2025, Bangunan Dewan Majlis – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini telah menerima lawatan daripada Peserta-Peserta Kohort Kedua Leadership Programme for Young and Future Leaders of Timor-Leste for ASEAN. Lawatan diadakan pada pagi tadi di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
Lawatan tersebut disertai oleh 11 orang peserta program. Juga hadir ialah Tuan Yang Terutama Abel Guterres, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor Leste ke Negara Brunei Darussalam. Antara lain, lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan mengongsikan maklumat mengenai peranan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat khususnya berkaitan dengan Majlis Mesyuarat Negara. Selain itu, lawatan juga bertujuan untuk memberi kefahaman mengenai penglibatan Majlis Mesyuarat Negara di dalam negara serta di peringkat serantau dan antarabangsa.
Program dimulakan dengan taklimat daripada Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat selaku Urusetia kepada Majlis Mesyuarat Negara. Taklimat antara lain mengongsikan mengenai proses dan prosedur Persidangan Majlis Mesyuarat Negara berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Mesyuarat (Standing Order), serta penyertaan Majlis Mesyuarat Negara di mesyuarat-mesyuarat dan persidangan serantau dan antarabangsa. Di akhir program lawatan, para peserta juga berkesempatan untuk membuat lawatan ke Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.