Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

19.06.25 Dialog Parlimen Kebangsaan ASEAN RAI

​Bandar Seri Begawan, Khamis, 19 Jun 2025 – Usaha ke arah pelaburan bertanggungjawab dan mampan dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan menjadi tumpuan Dialog Parlimen Kebangsaan “National Parliamentary Dialogue on Promoting Responsible Investment in Food, Agriculture and Forestry (ASEAN RAI)" yang berlangsung pagi tadi di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. Dianjurkan bersama oleh Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), dengan kerjasama Pertubuhan Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), International Institute for Sustainable Development (IISD) dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Dialog ini menghimpunkan seramai lebih 40 peserta termasuk ahli-ahli MMN, agensi kerajaan, pengusaha pertanian, institusi pendidikan, sektor swasta serta rakan serantau. Dialog ini membuka ruang kepada perbincangan pelbagai pihak, berkaitan pelaksanaan garis panduan ASEAN RAI dalam konteks dasar, amalan terbaik dan kerjasama rentas sektor yang menyokong pembangunan pertanian yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan oleh Yang Berhormat Awang Lau How Teck, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Puan Yang Terutama Ar. Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA; Mr. Rajendra Aryal, Wakil FAO di Indonesia dan Timor-Leste dan  Penyelaras FAO bagi ASEAN; dan Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Ucapan-ucapan tersebut menekankan komitmen bersama sebagai pemacu yang akan dapat menjamin keselamatan makanan, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar. Turut ditekankan, bahawa kejayaan pelaksanaan garis panduan ASEAN RAI bergantung kepada kerjasama erat semua pihak termasuk ahli parlimen khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Negara, agensi pelaksana, sektor swasta dan komuniti akar umbi.

Sesi pertama memberi tumpuan kepada kefahaman dasar dan pelaksanaan garis panduan ASEAN RAI serta perkembangannya di peringkat serantau dan kebangsaan. Pembentangan disampaikan oleh wakil-wakil daripada Pertubuhan FAO, Sekretariat ASEAN, Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Parlimen Kemboja dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, menekankan keperluan pelaburan pertanian yang lebih inklusif, bertanggungjawab dan sejajar dengan keutamaan negara. Dalam pembentangan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, Yang Berhormat menggariskan peranan institusi parlimen terutamanya Majlis Mesyuarat Negara, dalam menyokong dasar yang menjamin kepada keseimbangan ekonomi, sumber yang mampan, dan manfaat kepada komuniti tempatan.  

Di samping itu, Yang Mulia Awang Haji Noor Azri bin Haji Mohd Noor, Penolong Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam pembentangannya telah mengongsikan inisiatif negara dalam memperkukuh rantaian nilai, meningkatkan pemprosesan hiliran dan pematuhan piawaian keselamatan makanan melalui sokongan infrastruktur dan kerjasama pelbagai pihak.

Perbincangan panel pada akhir sesi dialog disertai oleh beberapa ahli panel iaitu Yang Berhormat Awang Lau How Teck, Ahli MMN; Yang Berhormat Oscar Ling Chai Yew, Ahli Parlimen Dewan Rakyat Malaysia; Yang Mulia Awang Hirman bin Haji Abu, Penolong Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Yang Mulia Awang Lim Jun Hong, Pengasas Mori Farm. Sesi ini membincangkan cabaran dan pemaju dalam pelaksanaan ASEAN RAI serta kepentingan penyelarasan dasar, sokongan institusi dan penglibatan komuniti dalam memperkukuh pelaksanaan garis panduan ASEAN RAI.

Di sebelah petang, peserta berpeluang untuk mengikuti lawatan ke dua buah ladang di sebelah petang iaitu Hua Ho Agricultural Farm dan Mori Farm, yang menjadi contoh bagi amalan pertanian bertanggungjawab dan mampan di Brunei Darussalam.

Dialog ini diharap dapat membantu dalam mengukuhkan kefahaman, memacu komitmen bersama dan menjadikan landasan yang lebih kukuh bagi Negara Brunei Darussalam dan negara-negara serantau dalam memajukan sektor pertanian yang beretika, inklusif dan berdaya tahan.


19.06.25 Dialog Parlimen Kebangsaan ASEAN RAI