Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

18.06.25 Dialog Parlimen Kebangsaan WPPL

​Bandar Seri Begawan, Rabu, 18 Jun 2025Komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memperkasa penyertaan wanita dalam kepimpinan politik terus diperkukuhkan melalui Dialog Parlimen Kebangsaan “National Parliamentary Dialogue on Promoting Women's Political Participation and Leadership (WPPL)" yang berlangsung pagi tadi di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat. Dianjurkan bersama oleh Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), dengan kerjasama Pertubuhan UN Women dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), acara ini menjadi wadah interaktif yang menghimpunkan ahli-ahli MMN, agensi kerajaan, masyarakat sivil dan rakan serantau dalam usaha menyokong peranan wanita dalam kepimpinan dan penggubalan dasar. Seramai lebih 50 orang peserta menghadiri dialog ini terdiri daripada wakil-wakil kementerian, pertubuhan masyarakat sivil wanita, institusi pendidikan dan badan sokongan, menjadikan perbincangan ini lebih menyeluruh dan inklusif.

Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan oleh Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Puan Yang Terutama Ar. Siti Rozaimeriyanty Dato Haji Abdul Rahman, Setiausaha Agung AIPA; Yang Mulia Dayang Norul Huda Mohamed Rashid, Penasihat Dasar Serantau UN Women; dan Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Antara inti utama, ucapan-ucapan menekankan aspirasi bersama untuk memperluas penyertaan wanita secara bermakna dalam proses membuat keputusan, melalui pengukuhan dasar responsif, pembinaan ekosistem sokongan yang kukuh, serta meningkatkan kerjasama bersepadu merentas sektor.

Sesi pertama membincangkan penyertaan politik wanita dari sudut global dan serantau, dengan pembentangan oleh wakil UN Women, Sekretariat ASEAN, Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli Parlimen Republik Indonesia. Fokus diberikan kepada membincangkan cabaran dalam penyertaan dan kepimpinan wanita, pelaksanaan tindakan pasca Beijing+30 dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women General Recommendation 40 (CEDAW GR40), serta pengukuhan tadbir urus yang responsif melalui data dan kerjasama rentas sektor. Dalam pembentangan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam, Yang Berhormat telah menekankan keperluan memanfaatkan peranan institusi parlimen sebagai pemangkin dasar dan suara komuniti akar umbi dalam mendorong penyertaan wanita yang lebih bermakna.

Sesi kedua merupakan pembentangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang mengongsikan inisiatif bersepadu dalam memperkukuh kepimpinan wanita, termasuk statistik semasa penyertaan wanita di negara. Pembentangan ini juga mengongsikan peranan organisasi akar umbi dan hala tuju Pelan Tindakan Wanita bagi menyokong pembangunan inklusif dan kepimpinan berterusan di negara ini.

Sesi terakhir merupakan perbincangan panel menjadi kemuncak dialog, disertai oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Mulia Dr. Azrinah Rahman dari Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS), dan Yang Mulia Datin Hajah Dayang Masni binti Haji Mohd Ali dari Majlis Wanita Brunei. Perbincangan merangkumi kepentingan kemahiran digital, keperluan struktur sokongan yang lebih responsif bagi pemimpin, serta kepentingan memperkukuh peranan wanita dalam agenda pembangunan negara.

Dialog hari ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuhkan peranan wanita dalam kepimpinan dan penggubalan dasar, selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan.


18.06.25 Dialog Parlimen Kebangsaan WPPL