Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

29.05.25 MMN - UK AFPS berkongsi maklumat mengenai parlimen

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Mei. - Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi menerima lawatan daripada tujuh ahli Parlimen United Kingdom (UK) daripada delegasi UK Armed Forces Parliamentary Scheme (UK AFPS), dan pegawai-pegawai dari Angkatan Tentera British.


Turut menyertai rombongan ialah pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Majlis berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Ketibaan rombongan dialu-alukan Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, berserta beberapa Ahli-ahli MMN.


Turut hadir ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.


Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang diadakan di Dewan Persidangan yang antara lain memperkenalkan latar belakang dan sejarah penubuhan Bangunan Dewan Majlis yang mencerminkan identiti Melayu Islam Beraja dan keunikan institusi legislatif negara.


Taklimat berkenaan turut mengongsikan mengenai fungsi dan struktur MMN sebagai badan perundangan utama negara termasuk perjalanan mesyuarat dan peranan Ahli-ahli MMN dalam menggubal dasar dan membincangkan isu-isu pembangunan negara.


Sesi juga diteruskan dengan Majlis Makan Tengah Hari yang telah memberikan peluang bagi kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pandangan serta berkongsi maklumat mengenai parlimen masing-masing.


Lawatan berkenaan merupakan satu bentuk jalinan hubungan bagi mengeratkan lagi pertukaran pengalaman serta meningkatkan persefahaman antara institusi legislatif kedua-dua buah negara.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

29.05.25 MMN - UK AFPS berkongsi maklumat mengenai parlimen