​BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Mei. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing Ke Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke NBD, Tuan Yang Terutama Janbaz Khan; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke NBD, Puan Yang Terutama Naureen Ahsan.
Majlis diadakan secara berasingan di Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Semasa kunjungan hormat bersama TYT Janbaz Khan, kedua-dua pihak menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan baik antara kedua-dua buah negara dan berharap hubungan dua hala akan terus dapat diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN turut merakamkan ucapan penghargaan atas sumbangan warganegara Republik Islam Pakistan yang berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional di negara ini.
Perbincangan juga menyentuh mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama termasuk dalam bidang pelaburan, teknologi maklumat, keterjaminan makanan, farmaseutikal dan perubatan.
Sementara itu, semasa kunjungan hormat bersama PYT Naureen Ahsan pula, kedua-dua pihak mengesahkan semula hubungan baik yang sedia ada antara kedua-dua buah negara.
Kedua-dua pihak juga membincangkan peluang-peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala termasuk dalam bidang penyelidikan pertanian, ketersambungan udara serta memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat melalui pertukaran-pertukaran lawatan.
Turut hadir semasa kunjungan-kunjungan hormat berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.