KUALA LUMPUR, MALAYSIA, Isnin, 26 Mei. - Mesyuarat Ke-14 ASEAN-AIPA Leaders' Interface sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali Ke-46 telah berlangsung pada 26 Mei 2025, bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, Malaysia.
Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Mesyuarat tahunan berkenaan merupakan landasan tertinggi di antara ketua-ketua kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dengan Pemimpin Parlimen Negara-negara Ahli ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) untuk memperkukuh persefahaman, merapatkan kerjasama serta menyokong aspirasi komuniti ASEAN yang bersatu, inklusif dan mampan.
Terdahulu, Mesyuarat Persediaan telah pun diadakan antara Ketua-ketua Delegasi Negara-negara Ahli AIPA bagi membincangkan Mesej AIPA. Mesej berkenaan kemudiannya dipersetujui secara sebulat suara untuk disampaikan sebagai suara bersama Parlimen Negara-negara Ahli AIPA.
Semasa Mesyuarat Ke-14 ASEAN-AIPA Leaders' Interface berlangsung, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, selaku Presiden AIPA telah menyampaikan Mesej AIPA kepada para pemimpin ASEAN.
Mesej berkenaan menyuarakan sokongan penuh terhadap tema Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan menegaskan komitmen AIPA dalam memajukan pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan serta memperkukuh integrasi serantau menjelang Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Selepas mesyuarat, satu Majlis Penandatanganan Deklarasi 'Kuala Lumpur Declaration on ASEAN 2045 : Our Shared Future' turut diadakan yang telah dihadiri oleh Ketua-ketua Perwakilan bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan termasuk Ketua-ketua Delegasi AIPA.