Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.03.25 KEMas bertujuan menilai prestasi, pemantauan lebih efektif

​BERAKAS, Isnin, 10 Mac. - Sistem pemantauan pencapaian Wawasan Negara 2035 melalui platform dalaman petunjuk prestasi utama kebangsaan ataupun National Key Performance Indicators (KPI) Executive Management System atau KEMas, kini hanya terhad kepada Pegawai-pegawai Wawasan bagi tujuan penilaian prestasi dan pemantauan yang lebih efektif.


Walau bagaimanapun, ada kemungkinan satu mekanisme akan difikirkan pada masa hadapan untuk membolehkan Pejabat Wawasan berkongsi pencapaian-pencapaian tersebut secara lebih meluas kepada orang ramai dari semasa ke semasa.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.


“Buat masa ini, Pejabat Wawasan sentiasa berkongsi perkembangan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan, dan InsyaaAllah usaha ini akan terus diperbaiki pada masa hadapan," jelas Yang Berhormat.


Mengulas lanjut mengenai persoalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, menjelaskan bahawa pegawai dan kakitangan kerajaan yang mencapai standard tinggi diukur melalui penyertaan mereka dalam program Civil Service Leadership Pipeline (CSLP).


“Penilaian dibuat berdasarkan pencapaian peserta program pembangunan kepimpinan CSLP yang memperoleh Gred Cemerlang dan Gred Sangat Baik, di mana ini diambil kira dalam pengukuran prestasi," ujar Yang Berhormat.


Menurut Yang Berhormat lagi, bagi tahun 2023/2024, kadar pencapaian tersebut adalah lebih tinggi daripada apa yang dianggarkan. Usaha pemantauan akan diteruskan bagi memastikan program-program tersebut memberikan nilai yang setimpal (value for money) kepada pembangunan sumber manusia dalam Perkhidmatan Awam (PA).


Sementara itu, menjawab pertanyaan daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai KPI kedua, iaitu jumlah pengemaskinian dasar dan dasar baharu yang dikeluarkan untuk memperbaiki PA, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menjelaskan bahawa sasaran minimum adalah sebanyak tiga dasar setiap tahun.


“Walaupun sasaran KPI ini sekurang-kurangnya tiga, namun pada tahun 2024/2025, sebanyak lapan dasar telah dikemaskinikan dan enam dasar pada tahun sebelumnya. Sasaran tiga dasar adalah untuk memastikan Jabatan Perkhidmatan Awam meneliti sekurang-kurangnya tiga dasar yang memerlukan penambahbaikan, dan akan ada usaha lanjut sekiranya terdapat keperluan," tambah Yang Berhormat lagi.


Menurut Yang Berhormat Menteri lagi, keperluan untuk mengemas kini dasar tidak semestinya dilakukan secara besar-besaran atau dalam jumlah yang tinggi setiap tahun, sebaliknya bergantung kepada dasar-dasar yang benar-benar memerlukan semakan dan penambahbaikan.


“Jika terdapat lebih banyak keperluan untuk dikemas kini, InsyaaAllah usaha akan diteruskan seperti mana yang telah kita lihat pada tahun-tahun sebelumnya," jelas Yang Berhormat lagi.


Yang Berhormat mengakhiri penjelasannya dengan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan cadangan dan pertanyaan yang membina demi penambahbaikan PA negara.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

10.03.25 KEMas bertujuan menilai prestasi, pemantauan lebih efektif