10.03.25 Peruntukan Anggaran Hasil, Perbelanjaan Tahun Kewangan 2025/2026 dibentangkan
​BERAKAS, Isnin, 10 Mac. - Peruntukan bagi Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Tahun Kewangan 2025/2026 serta Anggaran Perbelanjaan Kumpulanwang Kemajuan telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Semasa sesi tersebut, Yang Berhormat mencadangkan supaya wang yang diperuntukkan dalam Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Tahun Kewangan 2025/2026 bagi maksud-maksud gelaran SA01A hingga SA28A, SB01A hingga SB04A, SC01A, SD01A hingga SD09A, SE01A hingga SE12A, SF01A hingga SF06A, SH01A hingga SH06A, SJ01A, SK01A hingga SK08A dan SL01A hingga SL06A, SM01A dan SN01A hingga SN09A untuk kementerian dan jabatan yang berkaitan dijadikan sebahagian daripada Jadual Perbelanjaan Negara.
Selain itu, bagi tajuk SP01A, Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa sejumlah tidak lebih daripada BND480 juta telah diperuntukkan dalam Anggaran Perbelanjaan Kumpulanwang Kemajuan Tahun 2025/2026.
Peruntukan berkenaan jelas Yang Berhormat, adalah bagi maksud-maksud kemajuan yang merangkumi gelaran 1201 hingga 1223, yang bertujuan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di kementerian dan jabatan yang berkaitan.
Menurut Yang Berhormat lagi, keperluan bagi mengadakan peruntukan Anggaran Belanjawan Tahun 2025 serta Anggaran Belanjawan Kemajuan Tahun 2025 telah pun dibentangkan secara terperinci semasa perbahasan di Peringkat Dasar sebelum ini.
"Kaola telah mengemukakan cadangan ini sebagai sebahagian daripada langkah perancangan kewangan negara bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan pengurusan kewangan yang mapan," ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)