10.03.25 Terus memperkasa, meningkatkan kepakaran doktor pakar, konsultan tempatan
BERAKAS, Isnin, 10 Mac. - Kementerian Kesihatan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasa dan meningkatkan lagi kepakaran para doktor pakar serta konsultan tempatan agar setanding dengan pakar-pakar perubatan di negara jiran dan antarabangsa.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam jawapannya menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan sentiasa meneliti keperluan peningkatan kapasiti doktor tempatan serta profesional kesihatan lain dalam bidang kepakaran yang diperlukan. Ini termasuklah menghantar mereka mengikuti latihan kepakaran di institusi bertaraf antarabangsa di luar negara.
“Doktor-doktor tempatan yang telah tamat latihan kepakaran diiktiraf sebagai pakar yang setanding dengan pakar-pakar di luar negara. Mereka dapat menjalankan tugas-tugas klinikal dan bertanggungjawab sebagai pakar sejurus selepas kembali dari latihan," jelas Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat lagi, para doktor tempatan dan profesional kesihatan lain juga diberi peluang untuk membentangkan dan menerbitkan kertas kerja serta jurnal di peringkat global, sekali gus meningkatkan pengiktirafan mereka di arena antarabangsa. Pihak kementerian turut melengkapkan mereka dengan teknologi mesin dan peralatan perubatan terkini bagi menyokong tugas-tugas klinikal mereka.
Menurut Yang Berhormat lagi, bilangan doktor tempatan yang mencapai kelulusan tahap pakar telah meningkat secara signifikan. Jika dibandingkan 15 tahun yang lalu, jumlah pakar tempatan hanya sekitar 30 orang, kini angka tersebut meningkat kepada 128 orang, meliputi bidang perubatan hospital, kesihatan awam, pergigian, pediatrik, pembedahan dan kecemasan. Peningkatan ini menunjukkan lonjakan lebih 400 peratus dalam tempoh tersebut.
“Walaupun mengambil masa yang panjang, pencapaian ini adalah ketara dan membanggakan. Doktor-doktor pakar tempatan kini juga berperanan sebagai tenaga pengajar bagi kursus 'in-house' dan latihan di institusi pengajian tempatan," ujar Yang Berhormat.
Selain itu, Yang Berhormat juga menjelaskan bahawa hasil daripada 'transfer of skills' daripada pakar asing, beberapa prosedur rawatan dan pembedahan yang sebelum ini memerlukan pesakit dihantar ke luar negara, kini berjaya dijalankan sepenuhnya oleh pakar tempatan. Antaranya termasuk pembedahan jantung, pemindahan buah pinggang (kidney transplant), bahkan pembedahan hati (liver transplant) yang melibatkan kerjasama rapat antara pakar tempatan dan pakar luar negara bagi membolehkan pemindahan kemahiran secara langsung.
“Ini adalah satu aspek 'returns of investment' bagi kerajaan, di mana kepakaran mereka ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam melatih doktor tempatan lain, menjalankan prosedur, pembedahan serta memberikan rawatan kepakaran," kata Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat lagi, kementerian menjangkakan prosedur rawatan secara berperingkat akan dikendalikan sepenuhnya oleh pakar tempatan seiring dengan peningkatan bilangan doktor pakar di negara ini.
Dalam usaha berterusan memperkukuh perkhidmatan kesihatan, Yang Berhormat mengongsikan Kementerian Kesihatan juga terus mengenal pasti keperluan tambahan dari segi kelengkapan peralatan dan kemudahan yang bersesuaian, selain terus memberi fokus kepada pengukuhan jumlah tenaga kerja klinikal.
Namun begitu kata Yang Berhormat, kementerian masih memerlukan khidmat doktor asing bagi menampung pemberian perkhidmatan klinikal yang meliputi hampir 70 cabang kepakaran di kementerian tersebut. Oleh itu, strategi pengambilan tenaga kerja atau 'procurement strategy' sentiasa diteliti agar pengambilan doktor asing dapat dibuat secara teratur dan dalam masa yang dijangkakan, supaya tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan klinikal kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
“Kementerian berharap rakyat dan penduduk negara ini akan terus memberikan kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan dalam penyampaian perkhidmatan rawatan kepakaran yang sebanding dengan taraf antarabangsa," ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)