Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.03.25 Penggunaan teknologi moden bagi memantau kedaulatan, keselamatan negara

​BERAKAS, Isnin, 10 Mac. - Penggunaan teknologi moden seperti dron dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI) dalam memantau keselamatan sempadan negara kini sudah dilaksanakan dan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, menyatakan perkara tersebut semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Yang Berhormat menegaskan bahawa sempadan negara dikawal oleh pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang memainkan peranan penting dalam menangani sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.


Jelas Yang Berhormat lagi, penggunaan peralatan seperti dron sudah pun digunakan oleh agensi penguat kuasa bagi mempertingkatkan keupayaan pemantauan. Namun begitu, demi menjaga kerahsiaan operasi dan taktikal, perincian lanjut mengenai pelaksanaan teknologi berkenaan tidak dapat dikongsikan secara terbuka bagi mengelakkan maklumat tersebut dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


“Cukuplah saya nyatakan bahawa sistem-sistem baharu telah digunakan dan akan terus diberikan peningkatan dari semasa ke semasa," ujar Yang Berhormat.


Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai langkah-langkah pemantauan keselamatan yang sedang giat dilaksanakan melalui mesyuarat pengurusan eksekutif secara berkala bagi memastikan segala rancangan dapat diselaraskan dengan sebaik-baiknya.


Menjawab cadangan mengenai pengawasan kejiranan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee, Yang Berhormat menyatakan bahawa pengawasan kejiranan merupakan satu cadangan yang baik dan melibatkan kerjasama seluruh jentera kerajaan, termasuk kepimpinan akar umbi melalui Penghulu Mukim dan Ketua Kampung.


Menurut Yang Berhormat lagi, keberkesanan inisiatif pengawasan kejiranan berkenaan bergantung kepada hubungan dan pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan semasa, memandangkan perubahan suasana di kampung, mukim, daerah, dan kawasan perbandaran pada masa ini, termasuk kehadiran warga asing.


“InsyaaAllah perkara ini diambil baik dan adalah penting juga pihak akar umbi terus bekerjasama dalam sama-sama menanganinya," tambah Yang Berhormat.


Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai transformasi perkhidmatan awam yang sedang berjalan, dengan beberapa perkara sudah dilaksanakan, manakala beberapa lagi dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.


Namun begitu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa adalah terlalu awal untuk menjangkakan transformasi tersebut dapat mengubah sepenuhnya keadaan sedia ada tanpa penilaian dan pemantauan yang berterusan.


Selain itu, Yang Berhormat turut menjawab persoalan berkaitan pertukaran pegawai di peringkat kementerian-kementerian tertentu, termasuk dalam kalangan pegawai-pegawai Division II yang kini berada di tahun pertama pelaksanaan.


Menurut Yang Berhormat, beberapa perkara masih memerlukan penambahbaikan dan akan dijelaskan secara lebih terperinci dalam Jawaban Bertulis kepada Yang Berhormat Pengerusi.


“Kaola mencuba untuk menjawab secara lebih jelas, namun ia memerlukan data-data yang lengkap khususnya mengenai dengan audit," jelas Yang Berhormat sambil mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi serta semua Ahli-ahli Yang Berhormat atas cadangan dan persoalan yang dikemukakan.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

10.03.25 Penggunaan teknologi moden bagi memantau kedaulatan, keselamatan negara