Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

10.03.25 2 jawatankuasa khas ditubuhkan memantau kegiatan keagamaan

​BERAKAS, Isnin, 10 Mac. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui dua jawatankuasa khas sedia ada telah lama menjalankan pemantauan terhadap kegiatan keagamaan di negara ini termasuklah menangani isu-isu berkaitan penceramah bebas, ajaran sesat dan kumpulan-kumpulan keagamaan yang menyeleweng.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskan perkara tersebut semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, yang juga selaku Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong pada hari kelapan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, berhubung sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk mewujudkan jawatankuasa khas atau menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) bagi memantau kegiatan keagamaan di media sosial.


Yang Berhormat menjelaskan, pemantauan terhadap kegiatan keagamaan ini sebenarnya sudah lama dilaksanakan di bawah dua jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Kawalan Kegiatan Keugamaan dan Jawatankuasa Mengkaji Amalan-amalan Berugama.


Menurut Yang Berhormat lagi, jawatankuasa-jawatankuasa tersebut bukan sahaja memantau kegiatan ajaran-ajaran yang menyimpang, tetapi juga bertugas dalam menilai dan mengemas kini kriteria pengharaman jemaah dan kumpulan-kumpulan keagamaan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Berhubung dengan penggunaan teknologi AI dalam pemantauan tersebut, Yang Berhormat menjelaskan bahawa pada masa ini belum ada perancangan untuk menggunakan teknologi tersebut dalam memantau ajaran sesat di media sosial.


Namun tambah Yang Berhormat, KHEU sedang meneroka dan menguji penggunaan AI dalam bidang tertentu dan kumpulan-kumpulan terpilih sahaja. Fokus utama adalah untuk melihat bagaimana teknologi AI dapat membantu dalam urusan pentadbiran harian kementerian, khususnya dalam proses pembuatan keputusan berdasarkan analisis data dan laporan yang ada.


“Ini bukan mudah. 'Kitani' mesti menyediakan datanya awal-awal untuk digunakan oleh AI sebagai asas membuat keputusan, menggantikan apa yang biasanya otak 'kitani' lakukan," ujar Yang Berhormat.


Dalam penjelasan lanjut, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa walaupun teknologi AI belum digunakan secara langsung dalam pemantauan ajaran sesat, KHEU menyedari akan cabaran-cabaran yang wujud. Antaranya adalah memastikan ketepatan sumber yang sahih dalam menilai sesuatu isu keagamaan yang timbul di media sosial.


“Sesat atau 'inda' sesat atu ada kalanya cuma perkara khilafiah (perselisihan pendapat) dalam isu agama. Maka penting untuk kita memastikan ada sumber yang sahih sebelum mengambil sebarang tindakan," tegas Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga mengambil contoh beberapa isu khilafiah yang sering berbangkit di media sosial seperti hukum suntikan semasa berpuasa, atau hukum bacaan Al-Fatihah oleh makmum selepas imam, yang sebenarnya telah berulang-ulang kali dibahaskan sejak dahulu.


Yang Berhormat juga menekankan bahawa masyarakat di NBD sudah pun mempunyai kefahaman agama yang jelas melalui pembelajaran, irsyad dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan. Oleh itu, perkara-perkara khilafiah tidak seharusnya menjadi isu besar.


“Namun, jika benar-benar terdapat ajaran atau fahaman akidah yang menyeleweng, itulah yang dipantau secara serius oleh jawatankuasa yang bertugas," jelas Yang Berhormat lagi.


Menutup penjelasannya, Yang Berhormat mengucapkan terima kasih atas pertanyaan yang dikemukakan dan berharap masyarakat terus berpegang kepada ajaran dan kefahaman agama yang telah diterima dan diamalkan di NBD.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

10.03.25 2 jawatankuasa khas ditubuhkan memantau kegiatan keagamaan