Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

26.02.25 Berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi MMN

​​​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Februari. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.


Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia memasuki Dewan Persidangan didahului dengan perarakan masuk Cokmar MMN.


Kebawah DYMM seterusnya berkenan menyempurnakan istiadat dengan mengurniakan titah sebagai tanda bermulanya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN.


Terdahulu itu, sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi berlangsung, Persidangan MMN Ke-21 telah bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Minit dari Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN, yang telah bersidang selama 18 hari pada tahun lepas.


Majlis kemudian ditangguhkan untuk memberi laluan bagi Titah Perutusan Kebawah DYMM dan Istiadat Pembukaan Rasmi.


Persidangan MMN akan disambung pada Khamis, 27 Februari 2025, pada jam 9.30 pagi, dengan Usul Menjunjung Kasih. 


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

26.02.25  Berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi MMN