BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Februari. - Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi, bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat diadakan petang tadi di Surau Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat yang turut diselajurkan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat.
Majlis penuh keberkatan berkenaan dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, serta Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab, sebelum diteruskan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah dan Sembahyang Sunat Hajat.
Sebagai sebahagian daripada persiapan rasmi, majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk memohon keberkatan dan kelancaran bagi Istiadat Pembukaan Rasmi dan sepanjang persidangan tetapi juga melambangkan kesepaduan dan iltizam dalam menunaikan amanah serta tanggungjawab yang digalas oleh MMN.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)