BERAKAS, Khamis, 13 Februari. - Sesi Perjumpaan Muhibah di antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Jabatan-jabatan serta Agensi-agensi Pihak Berkuasa di bawahnya bersama dengan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2025 diadakan bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC.
Mengalu-alukan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN ke Sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dengan seramai 17 orang diketuai oleh Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong.
Bagi memberkati majlis, Sesi Perjumpaan Muhibah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Pulaie, Mohd Zakaria bin Haji Salleh.
Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan diikuti dengan ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Mohammad Ali selaku Ketua Rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan status pelaksanaan pelan strategi serta projek-projek Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang berlandaskan kepada tiga aspek utama, yang mana ia adalah juga bertujuan untuk mendukung pencapaian di bawah Pelan Strategik MTIC 2025 yang juga disejajarkan dengan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.
Sesi Perjumpaan Muhibah ini adalah forum perbincangan tahunan yang mana sesi kali ini juga merupakan kesinambungan daripada beberapa siri lawatan kerja ke Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Cyber Security Brunei (CSB) serta sesi dialog bersama Yang Berhormat Ahli-ahli MMN ke MTIC yang telah diadakan sebelum ini pada 4 September 2024.
Selanjutnya, Sesi Perjumpaan Muhibah ini membuka peluang dan kesempatan untuk kedua-dua pihak untuk terus berdialog, berkongsi buah fikiran secara terbuka bagi merancang langkah-langkah ke hadapan ke arah mencapai cita kemajuan Negara Brunei Darussalam.
Cadangan-cadangan serta pandangan-pandangan Ahli-ahli Yang Berhormat juga akan dapat diambil kira dan membantu di dalam merancang hala tuju Pelan Strategik Kementerian bagi tahun 2026 hingga 2030.
Pada Sesi Perjumpaan Muhibah ini juga, rombongan Yang Berhormat Ahli-ahli MMN telah berkesempatan melawat pameran mengenai status dan 'timeline' bagi projek peningkatan Sistem Pengangkutan Awam, inisiatif-inisiatif di bawah Digital Government dan juga Ristaan Utama Kementerian di sepanjang tahun 2024.
Turut hadir dalam sesi Perjumpaan Muhibah tersebut ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Ketua-ketua Eksekutif, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Bahagian, serta Pegawai-pegawai Kanan dan pegawai-pegawai di MTIC dan Jabatan-jabatan serta Agensi-agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)