Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

04.12.24 Kukuhkan kerjasama antarabangsa tangani ancaman kesihatan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Disember. - Keselamatan kesihatan di rantau Asia-Pasifik menjadi fokus utama Persidangan Serantau Parlimen Asia-Pasifik Mengenai Keselamatan Kesihatan Global (Regional Conference for Parliaments of the Asia-Pacific Region on Global Health Security) yang diadakan di Bangkok, Thailand, bermula 2 hingga 3 Disember 2024.


Persidangan yang dianjurkan bersama Parlimen Thailand dan Kesatuan Antara Parlimen (Inter-Parliamentary Union) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) menghimpunkan seramai lebih 90 peserta daripada kalangan ahli parlimen, pakar kesihatan dan wakil organisasi antarabangsa berkumpul bagi membincangkan dan merangka langkah ke arah masa depan kesihatan yang lebih selamat dan mampan.


Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha dalam ucaptamanya telah menekankan kepentingan solidariti rentas sempadan dan menyeru ahli-ahli parlimen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani ancaman kesihatan yang semakin kompleks.


Tuan Yang Terutama Wan Muhamad Noor Matha juga menegaskan bahawa hanya dengan tindakan kolektif, keselamatan kesihatan global dapat dicapai. Sepanjang persidangan, para peserta menumpukan perhatian kepada isu-isu kritikal seperti persediaan bagi menghadapi kecemasan kesihatan, pengukuhan kerjasama serantau serta penyesuaian dasar untuk menghadapi ancaman masa hadapan.


Sesi perbincangan utama memberi tumpuan kepada Perlindungan Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage), impak perubahan iklim terhadap kesihatan dan peranan inovasi teknologi dalam memperkukuh keupayaan tindak balas terhadap krisis kesihatan.


Delegasi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diwakili oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin dan Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub.


Penyertaan MMN mencerminkan komitmen dalam memperkukuh kerjasama serantau dan menyumbang kepada usaha global untuk membina sistem kesihatan yang lebih teguh dan inklusif.


(Sumber berita: Pelita Brunei)​​

04.12.24 Kukuhkan kerjasama antarabangsa tangani ancaman kesihatan