Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

27.06.24 Kunjungan muhibah bincang memperkasa penggunaan bahasa Melayu di parlimen

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Jun. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Badan Kerjasama Antara Parlimen, Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia, Yang Berhormat Dr. H. Fadli Zon.

 

Majlis yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat di sini menerima rombongan Yang Berhormat Dr. H. Fadli Zon yang disertai seramai tujuh ahli parlimen dari Badan Kerjasama Antara Parlimen (Committee for Inter-Parliamentary Cooperation), Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia. 

 

Semasa sesi kunjungan muhibah berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan mengenai memperkasa penggunaan bahasa Melayu di parlimen-parlimen.

 

Kepentingan bahasa Melayu dan penggunaannya bukan sahaja sebagai bahasa perantaraan tetapi juga sebagai warisan bangsa. 

 

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengongsikan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara, yang berpegang kepada falsafah Melayu Islam Beraja dan tidak berpisah daripada cara hidup dan identiti rakyat di Negara Brunei Darussalam.

 

Sementara itu, Yang Berhormat Dr. H. Fadli Zon juga mengongsikan bahawa inisiatif berkenaan dianggap sebagai langkah penting ke hadapan untuk memastikan bahasa Melayu akan terus diperkukuh. 

 

Kedua-dua pihak juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai persamaan antara kedua-dua negara dalam aspek berkenaan dan perkembangan bahasa Melayu yang dapat dilihat sehingga ke hari ini.

 

Kunjungan muhibah kali ini juga diselajurkan dengan sesi dialog antara rombongan Badan Kerjasama Antara Parlimen, Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia bersama dengan Ahli-ahli MMN yang hadir.

 

Perbincangan diadakan secara terperinci mengenai inisiatif Pertubuhan Parlimen berbahasa Melayu berkenaan. 

 

Rombongan Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia menyuarakan bahawa inisiatif untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kerja rantau ASEAN amat bersesuaian memandangkan rantau berkenaan mempunyai lebih daripada 300 juta orang yang boleh bertutur dalam bahasa berkenaan dan berharap ia dapat direalisasikan dengan segera. 

 

Manakala, Ahli-ahli MMN turut memberikan sokongan terhadap inisiatif berkenaan dan mengongsikan harapan bahawa dengan penubuhan berkenaan, beberapa aspek tertentu boleh difikirkan seperti penyelerasan bahasa untuk kegunaan semua, dan melaksanakannya bersama dengan kemajuan perisian teknologi yang akan memberi manfaat.

 

Turut hadir sama dalam kunjungan muhibah berkenaan ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah; berserta Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam; Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin; Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

 

Sesi berkenaan diakhiri dengan lawatan di Dewan Persidangan MMN.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

27.06.24 Kunjungan muhibah bincang memperkasa penggunaan bahasa Melayu di parlimen