Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Utamakan hak perniagaan warga tempatan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Peranan pengusaha-pengusaha warga tempatan dalam pertumbuhan ekonomi tidak dapat dinafikan dan hendaklah disokong padu oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan dengan menyediakan kemudahan dan kemahiran yang bersesuaian serta mewujudkan persekitaran yang membantu perkembangan mereka ke tahap yang lebih baik lagi secara berterusan.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam menekankan demikian dalam ucapan penangguhannya pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

 

Yang Berhormat menegaskan, peniaga-peniaga Ali Baba tidak seharusnya mendapat tempat di negara ini, tindakan yang lebih tegas perlu diambil untuk memberikan hak perniagaan berkenaan kepada warga tempatan.

 

Tambah Yang Berhormat, para pemimpin hendaklah bersikap lebih telus membarigakan apa jua dasar dan inisiatif yang dirancang; mengongsikan isu dan cabaran yang dihadapi oleh negara; serta bersifat lebih terbuka memeduli, mendengar dan memberikan respons terhadap pandangan dan keluhan rakyat, meskipun hanya diluahkan di media-media sosial.

 

Sifat pemedulian itu jelas Yang Berhormat, akan membuatkan rakyat merasa didengar dan dihargai oleh pihak berwajib dan insyaaAllah dengan kefahaman yang mendalam, rakyat akan memberikan kepercayaan mereka dan lebih mudah untuk mereka menyokong dan menerima sebarang perubahan dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk maju ke arah kehidupan yang lebih cemerlang.

 

Dalam hal ini, Yang Berhormat menyambut baik dan akan terus memberikan sokongan padu terhadap strategi dan inisiatif kolaborasi antara sektor-sektor kerajaan, swasta dan NGO serta semua golongan masyarakat umum di luar sana yang diusahakan secara bersepadu untuk satu tujuan dan matlamat, iaitu mencapai kebajikan rakyat dan kestabilan sosioekonomi negara semata-mata.

 

“Berkat perpaduan semua rakyat, petunjuk Allah Subhanahu Wata'ala serta dengan bertawakal kepada-Nya, insyaaAllah kita mampu merealisasikan hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar Negara Brunei Darussalam ini menjadi Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur, negara yang baik aman makmur, yang mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala yang Maha Pengampun.

 

“Mariah kita mencontohi kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai amalan dalam urus tadbir kerajaan di Negara Brunei Darussalam dengan bersandarkan empat sifat Baginda yang masyhur, iaitu: Siddiq (Jujur), Amanah (Dipercayai), Tabligh (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijaksana)," tambah Yang Berhormat lagi.

 

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24 Utamakan hak perniagaan warga tempatan