Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Ubah minda, sikap pendekatan, budaya kerja sedia ada

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. -  Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam dalam ucapan penangguhannya hari ini menekankan, sudah sampai masanya untuk pihak-pihak yang berkepentingan membuat perubahan minda dan sikap terhadap pendekatan dan budaya kerja yang sedia ada. 

 

“Menilai semula langkah, inisiatif dan strategi yang kurang efektif dan masih mendatangkan hasil yang tidak mencapai sasaran yang dihasratkan untuk tempoh bertahun-tahun lamanya. 

 

“Kenal pasti punca kelemahan serta siap siaga ke arah budaya kerja yang lebih efektif dan efisien bagi mendapatkan hasil berbeza dan lebih baik semata-mata untuk kebajikan rakyat dan negara," tegas Yang Berhormat pada hari terakhir Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

 

Menurut yang Berhormat, semua pihak dalam Perkhidmatan Awam harus bergerak aktif agar lebih produktif dan bersifat terbuka mengakui kelemahan dan kelambatan yang ada dalam sebahagian perkhidmatan kerajaan contohnya dalam pemprosesan permohonan bantuan-bantuan kebajikan dan penyelesaian tuntutan-tuntutan kewangan rakyat.

 

“Proses-proses yang ada perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang lebih cekap dan cepat. 

 

“Adalah juga perlu untuk mendengar dan memanfaatkan pemikiran-pemikiran baharu melalui perbincangan dan sesi dialog bersama golongan-golongan yang berpendidikan dan berkemahiran, seperti para belia, graduan dan pegawai-pegawai dalam kerajaan yang berpotensi tinggi tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka," ujar yang Berhormat.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24  Ubah minda, sikap pendekatan, budaya kerja sedia ada