Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

13.07.23 Rombongan MMN hadiri Mesyuarat AIPA Caucus ke-14

​PHU QUOC, VIETNAM, 12 JULAI – Rombongan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof telah menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Caucus ke-14 yang berlangsung di Kepulauan Phu Quoc, Vietnam, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, di sini, turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin.

Mesyuarat yang dihoskan oleh Perhimpunan Negara Republik Sosialis Vietnam itu dihadiri oleh sembilan buah negara ahli AIPA termasuk Negara Brunei Darussalam.

Pada mesyuarat itu, ahli MMN telah mengongsi perkembangan status pelaksanaan resolusi-resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA 2022, termasuk perkembangan serta inisiatif-inisiatif yang telah diusahakan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, perkembangan wanita dan belia.

Perbincangan juga berarah kepada tajuk Penggalakan dalam Pembaharuan, Pemindahan, Penerapan dan Pembangunan Sains dan Teknologi untuk Pertumbuhan dan Pembangunan yang mampan.

Beberapa pelaksanaan inisiatif telah dikongsi termasuk penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES), Makmal Inovasi Brunei dan beberapa institut penyelidikan di peringkat universiti dalam negara.

Turut dikongsi adalah pengadaptasian teknologi dalam usaha pembangunan ekonomi di Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat diakhiri dengan penandatanganan laporan yang telah dipersetujui dan diluluskan oleh kesemua anggota AIPA.

Pada sesi penutup berkenaan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan telah dijemput untuk menyampaikan ucapan penerimaan bagi mengambil alih kepengerusian untuk menghoskan Mesyuarat AIPA Caucus ke-15 yang akan diadakan pada 2024.


(Sumber berita: Media Permata)

13.07.23 Rombongan MMN hadiri Mesyuarat AIPA Caucus ke-14