Bandar Seri Begawan, Khamis, 24 Julai 2025 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, pagi tadi telah menerima dua kunjungan hormat secara berasingan bertempat di Bangunan Dewan Majlis.
Kunjungan hormat pertama adalah daripada Mr. Henry Bristol, Naib Presiden dan Pengerusi Shell Negara bagi Brunei Darussalam. Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak menyentuh mengenai hubungan strategik dan kerjasama berterusan antara Shell dan Negara Brunei Darussalam dalam menyokong pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam sektor tenaga. Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan penyediaan peluang pekerjaan kepada generasi muda, pemanfaatan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), serta usaha Negara Brunei Darussalam ke arah kepelbagaian ekonomi, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan Wawasan Brunei 2035.
Seterusnya, Yang Di-Pertua MMN turut menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Chey Ratha, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam. Dalam pertemuan tersebut, perbincangan tertumpu kepada hubungan erat antara Negara Brunei Darussalam dan Kemboja, termasuk bidang kerjasama antara legislatif kedua-dua negara. Kedua-dua pihak turut membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan bersama serta peluang bagi meneroka kerjasama dalam meningkatkan kesalinghubungan (connectivity), hubungan antara rakyat, eko-pelancongan (ecotourism), dan perdagangan produk halal.
Turut hadir semasa Kunjungan-Kunjungan Hormat tersebut ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.