Phnom Penh, Kemboja, Hari Rabu, 16 Julai 2025 – Mesyuarat ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Caucus ke-16 telah dihoskan oleh National Assembly of the Kingdom of Cambodia pada 15 hingga 16 Julai 2025 di Phnom Penh, Kemboja. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary, President of the National Assembly of the Kingdom of Cambodia dan telah dihadiri oleh ahli-ahli parlimen daripada lapan (8) buah parlimen negara ahli AIPA.
Mewakili Majlis Mesyuarat Negara ke mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Dengan tema “Peace Through Dialogue: The Parliamentary Path Forward", mesyuarat tahunan ini bertujuan untuk memantau pelaksanaan resolusi-resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-45 pada tahun 2024, serta memperkukuh kerjasama antara parlimen-parlimen negara ahli AIPA dalam menyelaras dasar dan amalan terbaik serantau.
Selain itu, mesyuarat AIPA Caucus ke-16 turut diisikan dengan sesi-sesi dialog parlimen bersama dengan lapan (8) buah Negara Pemerhati AIPA, Rakan Pembangunan AIPA serta tetamu-tetamu kepada pihak penganjur. Sesi dialog parlimen berkenaan bertujuan untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan amalan terbaik dalam memperkukuh keselamatan, ketahanan serantau dan pembangunan mampan.
Mesyuarat diakhiri dengan Majlis Penandatanganan bagi laporan Mesyuarat AIPA Caucus ke-16. Laporan berkenaan seterusnya akan dibawakan ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 untuk diluluskan.