Bandar Seri Begawan, Hari Rabu, 16 Julai 2025 – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat petang tadi telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-79 Tahun, bertempat di Surau, Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara. Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara; serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Yaasin dan Doa Khas Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun, yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Saufi bin Haji Suhaini, Pegawai Pemantau Daerah Brunei-Muara Zon 1. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah.
Majlis ini diadakan sebagai melahirkan rasa kesyukuran di atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, serta memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Baginda akan sentiasa dilimpahkan rahmat, dikurniakan kesihatan berpanjangan dan dilanjutkan usia serta kekal qarar memerintah atas singgah sana. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta Kerabat Di-Raja sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan inayah daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sumber gambar: INFO FOTO