MAJLIS Mesyuarat Negara (MMN) ditubuhkan berdasarkan Perkara 23 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 dan ahli-ahlinya dilantik menurut Perkara 24. MMN berperanan sebagai landasan rasmi untuk membincangkan isu-isu berkepentingan kepada rakyat dan negara serta bertanggungjawab dalam Penggubalan Undang-Undang (Law-Making), Penelitian Perbelanjaan (Financial Scrutiny), dan Penelitian serta semak dan imbang (Inquisitorial and Check & Balance), di mana ia bersidang sebagai badan perundangan (unicameral) berteraskan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) dan berasaskan sistem House of Commons, United Kingdom, serta dilaksanakan mengikut Peraturan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negara (Standing Order), Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.
MMN 2025
Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN akan berlangsung pada Rabu, 27 Syaaban 1446 Hijrah bersamaan 26 Februari 2025 Masihi bertempat di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, Negara Brunei Darussalam. Permesyuaratan dimulakan dengan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan pengurniaan titah sebagai tanda bermulanya Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN.
Persidangan MMN seterusnya akan disambung dengan membincangkan perkara-perkara yang terdapat dalam Susunan Urusan seperti berikut:
• Usul Menjunjung Kasih
• Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan (Penggal 136)
• Usul Ketetapan Perintah yang diluluskan bawah Perkara 83(3) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam
• Usul Penangguhan MMN
• Perkara utama yang juga dibincangkan adalah yang berkaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2025-2026 yang mana MMN akan menimbangkan dan seterusnya meluluskan Rang Undang-Undang ini untuk menjadi Akta Perbekalan bagi Tahun Kewangan 2025-2026.
• Persidangan juga akan membuka ruang kepada Pertanyaan dan Kenyataan Menteri
Apa yang menarik sewaktu MMN tersebut adalah perbahasan dan pertukaran fikiran yang mana semua akan menjurus kepada membincangkan pelbagai perkara dan isu yang berkepentingan kepada rakyat dan negara, yang akan membawa negara ke hadapan. Ini adalah penting terutamanya memandangkan negara sedang berusaha ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Kesepakatan antara semua pihak juga penting kerana dengan cara ini akan dapat membina rangkaian kerja yang lebih strategik dan terarah, yang mana hasil daripada permuzakarahan yang konstruktif dan membina demi kepentingan negara bersama.
MMN menyatukan kepentingan Rakyat dan Kerajaan
MMN telah bersidang selama 21 tahun sejak penubuhannya semula pada tahun 2004. Berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam, MMN terus menjadi satu landasan utama bagi mengetengahkan perkara-perkara dan isu-isu kebangsaan, sekaligus membolehkan perbahasan dilakukan secara terbuka oleh Ahli-Ahli MMN mengenai isu-isu penting demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Dalam suasana perbincangan yang harmoni, MMN menyatukan kepentingan rakyat dan Kerajaan dengan membincangkan dasar-dasar penting bagi mencapai kemajuan ekonomi yang mampan, kesejahteraan rakyat melalui dasar sosial yang inklusif, serta memastikan keamanan negara yang berterusan di bawah rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.
Ahli yang terlibat
Sejak 11 Februari 2015 hingga sekarang, jawatan Yang Di-Pertua MMN disandang oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Jurutulis MMN yang akan turut membantu ialah Yang Mulia Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah. dan 34 orang Ahli-ahli MMN terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan, dan Ahli Yang Dilantik: Orang-Orang Yang Bergelar; Orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan; Wakil dari Daerah.
Manakala, Urusetia MMN yang bertanggungjawab dalam memastikan persidangan berjalan dengan lancar, teratur dan efisien ialah terdiri daripada pelbagai bahagian, termasuk Pejabat Yang Di-Pertua, Pejabat Jurutulis, Bahagian Korporat, Bahagian Sekuriti dan Keselamatan, Bahagian Media, Perhubungan Awam dan Perhubungan Inter-Parlimen, Bahagian Perhubungan Strategik, Bahagian Teknikal, Bahagian Logistik, Bahagian Laporan serta Bahagian Penyelidikan.
Orang awam dialu-alukan hadir di persidangan MMN
Sesi Persidangan MMN dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbahasan serta perbincangan yang berlangsung. Orang awam yang berminat amat dialu-alukan untuk hadir dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan, sehari selepas Istiadat Pembukaan Rasmi. Perkhidmatan terjemahan bahasa dalam Bahasa Inggeris juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.
Institusi pendidikan dijemput untuk membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN, termasuk proses perundangan negara serta perbahasan yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN. Permohonan untuk mengadakan lawatan boleh dibuat melalui surat rasmi kepada Urusetia MMN sekurang-kurangnya lima (5) hari sebelum tarikh lawatan.
Rakaman persidangan harian boleh ditonton melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9.00 malam untuk rakaman sesi pagi, dan pada pukul 11.00 malam untuk rakaman sesi petang.
Dokumen Rasmi persidangan seperti Penyata Rasmi (Hansard), Minit Mesyuarat dan Perintah Harian boleh diakses melalui laman sasawang www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn. Maklumat terkini serta perkembangan persidangan juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi @legcobrunei.
Rencana oleh: Nurul Rasyidah Mohamad Rosland dengan kerjasama Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
Foto: Jabatan Penerangan