Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

14.08.24 SDG Youth Camp Labuh Tirai

​BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Ogos. - Kem Belia Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (Sustainable Development Goals – SDG Youth Camp) yang diadakan selama lima hari dan empat malam bermula 10 Ogos lalu, menutup tirainya petang tadi pada Majlis Penutup SDG Youth Camp yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

 

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Wawasan), JPM, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), serta pengetua-pengetua dari Sekolah Menengah (SM) Menglait; SM Sayyidina Hasan; Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri; SM Lambak Kiri; SM Perdana Wazir; SM Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah dan Sekolah Sukan.

 

Sementara itu, Setiausaha Tetap (Wawasan), JPM dalam ucapannya, merakamkan penghargaan di atas sokongan padu berterusan rakan-rakan kongsi menerusi pendekatan senegara bagi mempercepatkan pelaksanaan Agenda 2030 untuk pembangunan mampan.

 

Beliau seterusnya menyentuh tujuan SDG Youth Camp adalah untuk memberi inspirasi kepada para belia ke arah budaya mampan, mempelajari kemahiran baharu, mengamalkan sikap bersedia serta menyesuaikan diri.

 

Menurutnya, ia adalah beberapa asas untuk menggalakkan dan menyediakan generasi masa depan untuk menyumbang kepada perubahan yang bermakna melalui laluan kerjaya masa depan mahupun kegiatan advokasi bagi masa depan negara yang berdaya tahan dan mampan.

 

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) Sdn. Bhd. di atas dukungan anugerah Pemuda Mampan.

 

Program anjuran JPM selaku Sekretariat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan (JKPK) SDG dengan dukungan Syarikat BSP Sdn. Bhd. selaku rakan rasmi acara dan kerjasama Kementerian Pendidikan; KKBS; Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB); Majlis Belia Brunei dan Green Brunei menyediakan platform bagi para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 9 hingga 11, untuk meneroka dan memahami matlamat-matlamat SDG dengan lebih meluas, dari konteks Negara Brunei Darussalam dan perspektif global.

 

Pelbagai aktiviti dan pendedahan dikendalikan sepanjang SDG Youth Camp termasuk dialog, lawatan, sesi motivasi dan aktiviti kemasyarakatan yang telah meningkatkan kemahiran kepimpinan, pemikiran kritikal, dan penyelesaian para peserta untuk persiapan penyertaan mereka dalam ISB Borneo Global Issues Conference (BGIC) pada bulan Oktober 2024 yang mana penyertaan peserta adalah ditaja oleh Syarikat BSP di bawah anugerah Pemuda Mampan.

 

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang 'https://www.sdgbrunei.gov.bn' dan ikuti media sosial Instagram '@sdg_brunei'.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

14.08.24 SDG Youth Camp Labuh Tirai