BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Lebih 60 orang perwakilan dari parlimen negara-negara ASEAN termasuk para ahli panel dari ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD), telah menghadiri Mesyuarat AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) kali ke-7 yang diadakan di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos, bermula kelmarin hingga hari ini.
Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah diwakili oleh
ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri
Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Hajah Safiah
binti Sheikh Haji Abdul Salam.
Mesyuarat tahunan tersebut diadakan bagi membincangkan dan
bertukar-tukar pandangan antara parlimen negara-negara ASEAN dan
pertubuhan serta badan-badan yang berkaitan, berkenaan tindakan bersama
dalam memerangi ancaman dadah.
Ia termasuk pelaksanaan undang-undang, dasar dan program pembasmian dadah ke arah mencapai ASEAN yang bebas dadah.
Perwakilan Negara Brunei Darussalam telah berkesempatan untuk
mengongsikan laporan kebangsaan semasa berkenaan situasi dadah di Negara
Brunei Darussalam serta usaha-usaha dalam menangani isu penyalahgunaan
dadah.
Mesyuarat juga telah menimbangkan satu draf resolusi bertajuk Strengthening the Role of Parliaments in Addressing Drug Matters for the Realization of a Drug-Free ASEAN yang telah dipersetujui untuk dibentangkan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-45 yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.
(Sumber berita: Media Permata)