Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

13.05.24 Kunjungan hormat fokus memperkukuh pelbagai bidang kerjasama

​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Mei. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini menerima kunjungan hormat daripada Vice Chairman of the Standing Committee of the Yunnan Provincial People's Congress of the People's Republic of China, Tuan Yang Terutama Mr. Li Xiaosan berserta rombongan seramai lima delegasi dari Yunnan Provincial People's Congress.

 

Rombongan berkenaan turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo.


Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah beberapa orang Ahli MMN.


Kunjungan hormat berkenaan menandakan hubungan mesra dan persahabatan yang terjalin sejak lamanya antara kedua-dua buah negara.


Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN telah menyatakan jalinan persahabatan dan diplomatik yang telah ditubuhkan sejak 1991 telah memperkukuh pelbagai bidang kerjasama antara kedua-dua buah negara antaranya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, pelancongan dan hubungan 'people-to-people' yang merupakan antara aspek yang penting. 


Antara lain tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, kedua-dua belah pihak juga membincangkan secara mendalam mengenai sektor pelancongan dan ekonomi sebagai bidang-bidang yang berpotensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas lagi.

 

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN juga turut menyatakan bahawa Republik Rakyat China memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara sebagai salah satu pelabur utama dan memperluaskan perdagangan.

 

Dalam mengongsikan hala tuju NBD, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN telah mengongsikan bahawa NBD sentiasa mengekalkan keamanan dan kestabilan, serta usaha berterusan untuk mempelbagaikan ekonomi agar tidak bergantung kepada minyak dan gas.


Sementara itu, Tuan Yang Terutama Mr. Li Xiaosan menyatakan bahawa Republik Rakyat China sentiasa menyokong negara-negara sahabat untuk berkembang dengan lebih jauh lagi melalui bidang-bidang kerjasama.


Kedua-dua belah pihak juga membincangkan mengenai sistem perundangan dewan masing-masing serta fungsi dan peranan dewan sebagai saluran utama kepada rakyat.

 

Di samping itu, kedua-dua pihak berharap untuk memperkukuh lagi kerjasama dan hubungan antara kedua-dua dewan melalui pertukaran lawatan pada masa yang terdekat.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

13.05.24  Kunjungan hormat fokus memperkukuh pelbagai bidang kerjasama