​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 Mac. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dalam ucapan Mukadimah Anggaran Belanjawan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya bagi Tahun Kewangan 2024 / 2025 pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) turut menerangkan pecahan peruntukan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Di mana peruntukan di bawah Kategori Emolumen disediakan sebanyak BND64,204,040 bagi membiayai pembayaran gaji, bonus, elaun-elaun serta caruman TAP, SCP dan SPK bagi 2,120 jawatan.
Di bawah Kategori Perbelanjaan Berulang-ulang pula, peruntukan sejumlah BND156,066,700 disediakan antara lain untuk membiayai keperluan operasi, kerja-kerja penguatkuasaan dan pembarigaan, pemeliharaan dan penyelenggaraan aset, bangunan dan infrastruktur ICT di kementerian, jabatan dan cawangan-cawangan di semua daerah, khususnya.
Sejumlah BND16 juta disediakan bagi Penyelenggaraan dan Pembaikan Aset seperti kerja-kerja menaik taraf lif; pembaikan Main Switchboard dan Genset; dan penyelenggaraan mesin-mesin pengimbas dan membaik pulih bangunan-bangunan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di daerah-daerah.
Sejumlah BND26.2 juta disediakan bagi Teknologi Maklumat dan Info-Komunikasi antaranya untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan sistem-sistem teknologi maklumat seperti Annual MOFE Consolidated Maintenance and Support; Network Infrastructure Services; membina MOFE Infrastructure Disaster Recovery untuk sistem-sistem aplikasi di MOFE; dan ePG Migration to One Government Private Cloud (OGPC).
Seterusnya Yang Berhormat juga mengongsikan secara ringkas peruntukan di bawah tajuk SD09A - Perkhidmatan Rampaian, yang mana seperti yang kaola terangkan sebentar tadi, ia adalah disediakan untuk membiayai perbelanjaan guna sama bagi kesemua kementerian dan jabatan serta juga perbelanjaan yang di luar jangkaan. Antara peruntukan-peruntukan yang disediakan adalah seperti berikut iaitu BND113.5 juta disediakan bagi Bantuan, Geran, Pemindahan dan Subsidi.
BND25 juta disediakan untuk menangani Bencana Alam, di mana sejumlah BND16.5 juta bagi kerja-kerja menaikkan paras jalan raya di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir; dan sejumlah BND1.1 juta bagi kerja-kerja membaik pulih cerun di beberapa lokasi; Peruntukan untuk menangani wabak penyakit berjangkit disediakan sejumlah BND37 juta.
Bagi membiayai kos-kos untuk projek-projek kementerian-kementerian di bawah Projek Rampaian, sejumlah BND276.4 juta disediakan antara lain untuk membiayai kerja-kerja membaik pulih Pusat Al-Islah; Kerja-kerja penaiktarafan dan pemeliharaan bangunan di Penjara Maraburong Fasa 1 dan Fasa 3, Penjara Jerudong, dan Institusi Penjara; Pengubahsuaian Bangunan Lama Telekom Brunei; dan Membaiki kebocoran atap dan kerosakan lain pada Bangunan Pusat Sejarah Brunei.
Seterusnya, bagi membiayai program atau projek-projek yang menjurus kepada mendukung Fokus Belanjawan Negara, sejumlah BND27.5 juta disediakan antara lainnya untuk melaksanakan Projek TAFIS 2.0 (TAFIS Migration); Projek Pemerolehan National Coastal Surveillance System, Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan; Projek Supply and Delivery of Four (4) Units of Interceptor Class Boat.
Selain itu, kerja-kerja membaik pulih bangunan-bangunan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kampus Gadong dan Kampus Sinaut dan projek pembelian peralatan makmal yang diperlukan untuk penganalisaan makanan bagi Jabatan Perkhidmatan Saintifik di Kementerian Kesihatan yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan keupayaan jabatan berkenaan ke arah membantu pihak-pihak yang tertentu untuk meningkatkan usaha-usaha mengeksport makanan ke luar negeri, di samping memastikan keselamatan makanan bagi pengguna-pengguna di negara ini.
Manakala di bawah Kategori Perbelanjaan Kemajuan pula, sejumlah BND12.8 juta dengan Harga Rancangan berjumlah BND98.3 juta adalah diperuntukkan antara lainnya untuk membiayai Projek Government Human Resource Management System yang sekarang dikenali sebagai SSM; Projek Platform Perkhidmatan Perniagaan Nasional; Pembangunan Kluster (Makroekonomi); Projek Bangunan Hijau; Integrated Statistical Data System (ISDS); dan Banci dan Kajian Sosioekonomi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)