Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

19.10.23 Yang Di-Pertua MMN Menerima Kunjungan Hormat

Bandar Seri Begawan, Khamis, 19 Oktober 2023 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima tiga kunjungan hormat daripada ketua-ketua perwakilan asing ke negara di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat hari ini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuart Negara telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Dr. Achmad Ubaedillah, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam; Tuan Yang Terutama Mr. Tran Anh Vu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam; dan Tuan Yang Terutama Dr Xiao Jianguo, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam. Kunjungan-Kunjungan Hormat tersebut diadakan secara berasingan.

Kedua belah Negara Brunei Darussalam dan Negara Indonesia telah menikmati hubungan persahabatan yang rapat dan telah lama terjalin.  Semasa kunjungan hormat bersama Tuan Yang Terutama Dr. Achmad Ubaedillah, kedua-dua belah pihak telah merakamkan rasa penghargaan atas hubungan tersebut dan berharap ianya akan sentiasa berkembang dan diperkukuhkan lagi terutama sekali dalam bidang-bidang pertahanan, people-to-people exchanges, tenaga kerja  penduduk Negara Indonesia di Negara Brunei Darussalam dan juga memperluaskan lagi peluang ekonomi terutama sekali di dalam bidang ekonomi halal yang mempunyai potensi untuk ditingkatkan dan diperkembangkan.  Kedua-dua pihak percaya dengan kerjasama rapat dalam mengatasi sebarang cabaran dalam bidang-bidang tersebut dapat mencapai ke arah matlamat yang dihasratkan.

 


Dalam menyentuh mengenai bidang perdagangan terutama sekali peralihan ibu kota Negara Indonesia yang baharu di Kalimantan, Negara Indonesia mengalu-alukan para pelabur untuk berkerjasama dan mengambil peluang melabur di ibu kota yang baharu tersebut. 

Persahabatan antara kedua-dua badan perundangan juga dapat dilihat dengan adanya pertukaran lawatan antara kedua-dua negara.  Kedua-dua pihak sentiasa mengalu-alukan kerjasama antara parlimen-parlimen kedua-dua negara yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama dan untuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan.


Sementara itu, Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam juga mempunyai hubungan dua hala yang kukuh melalui lawatan-lawatan rasmi Ketua-Ketua Negara dari kedua-dua pihak.   Kedua-dua negara telah mempersetujui dalam meningkatkan lagi perkongsian komprehensif di dalam pelbagai bidang termasuk bidang tenaga, people-to-people exchanges dan pelancongan.  Dalam kunjungan hormat bersama dengan Tuan Yang Terutama Mr. Tran Anh Vu, kedua-dua pihak telah menyentuh kerjasama di antara Majlis Mesyuarat Negara dan juga National Assembly of Vietnam yang ternyata melalui mesyuarat-mesyuarat yang dihadiri bagi membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan bersama.  Sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN, Negara Brunei Darussalam amat berbangga dengan apa yang telah dicapai Negara Vietnam bukan sahaja dalam menaik taraf rakyatnya tetapi juga di dalam pertumbuhan pembangunan yang pesat dan maju.


Tuan Yang Terutama Mr. Tran Anh Vu juga menyentuh mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak di bidang pendidikan di pengajian tinggi antara Universiti Brunei Darussalam dan Universiti di Da Nang dan berharap ianya dapat dikembangkan lagi dan diperkukuhkan.  Selain itu, Tuan Yang Terutama juga merakamkan rasa kagum dengan kemajuan Negara Brunei Darussalam dalam sektor halal dan pensijilan halal.  Komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memastikan standard tertinggi kualiti halal menjadikan negara sebuah negara yang penting untuk menjadi sebuah hab serantau bagi pensijilan produk halal, yang mempunyai potensi besar untuk seluruh rantau ASEAN.


Manakala Negara Brunei Darussalam dan Negara China menikmati hubungan yang rapat dan persahabatan sejak lamanya yang jelas terlihat dari sejarah kedua-dua negara di mana kedua-duanya saling sentiasa bantu-membantu.  Sebagai salah sebuah negara sering membantu di dalam perkembangan negara, Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah merakamkan rasa berterima kasih atas sumbangan yang telah diberikan bukan sahaja kepada negara tetapi juga dalam mengembang maju rantau Asia.  Di dalam kunjungan hormat bersama dengan Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo, kedua-dua pihak juga menyentuh mengenai inisiatif Negara China bagi “One Belt One Road" dan Negara China berharap bahawa matlamat yang dihasratkan dapat diselaraskan dalam sama-sama mencapai Wawasan Negara Brunei 2035.   


Tuan Yang Terutama Dr. Xiao Jianguo juga menyatakan rasa kagum dengan penglibatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di dalam memahami isu-isu akar umbi yang dapat dilihat melalui sesi-sesi lawatan seperti ke ladang-ladang dan tapak-tapak perusahaan di negara dan juga melalui sesi muzakarah yang dihadiri Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.  Di dalam membincangkan peluang-peluang masa depan antara kedua-dua negara, Majlis Mesyuarat Negara berharap dapat sentiasa memberikan bantuan dan memfasilitasikan peluang-peluang berkenaan bagi sama-sama lagi meningkatkan kemajuan dan hubungan kerjasama kedua-dua negara.  Pada melihat juga hubungan antara kedua-dua badan perundangan Negara Brunei Darussalam dan Negara China, kedua-dua pihak sentiasa mengukuhkan dan mengeratkan lagi hubungan melalui komunikasi antara kedua-duanya serta berharap dapat meningkatkan lagi lawatan-lawatan antara kedua buah negara. 


Turut hadir semasa Kunjungan-Kunjungan Hormat tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat; dan Yang Mulia Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.


19.10.23 Yang Di-Pertua MMN Menerima Kunjungan Hormat