Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

18.09.23 MMN Menghadiri 9th Global Conference of Young Parliamentarians

Majlis Mesyuarat Negara telah menghadiri sebuah persidangan antara parlimen-parlimen iaitu The 9th Global Conference of Young Parliamentarians yang telah dianjurkan bersama oleh The National Assembly of Viet Nam dan International Parliamentary Union (IPU) bertempat di Hanoi, Vietnam bermula pada 14 hingga 18 September 2023.  Dengan tema “The role of youth in implementing the Sustainable Development Goals (SDGs) through digital transformation and innovation", persidangan telah mengetengahkan perbincangan tentang kemajuan, dan menyerlahkan kepentingan teknologi dan inovasi yang semakin mencabar.  Platform tersebut juga memperkasakan golongan muda khususnya, untuk menggalakkan lagi transformasi digital, inovasi serta nilai budaya dalam pembangunan mampan.   Seramai lebih 310 orang ahli-ahli parlimen terdiri daripada 75 buah negara dan organisasi serantau dan antarabangsa telah menghadiri persidangan tersebut.


Majlis Mesyuarat Negara telah diwakili oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.  Selaras dengan tema persidangan, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee didalam kenyataannya telah menekankan komitmen dan dedikasi negara yang tinggi didalam mempromosikan inovasi dan syarikat-syarikat startups serta memajukan transformasi digital.   Melalui penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (Council for Research and Advancement of Technology Science – CREATES) pada tahun 2021, negara didalam usahanya secara aktif meningkatkan lagi aliran teknologi seperti analisis data besar, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT).   Negara juga telah melancarkan Makmal Inovasi Brunei yang bertujuan untuk memupuk ekosistem inovasi dan digital serta usahawan teknologi ke arah ekonomi yang mampan.


Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin turut memberi kenyataan semasa sesi perbincangan bahawa negara memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia sebagai agen perubahan didalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pelbagai cara seperti mengadakan sesi dialog bagi mempromosikan peranan belia-belia dalam mencapai matlamat tersebut.  Di dalam mengetengahkan posisi negara semasa perbincangan bertajuk “Promoting Respect for Cultural Diversity in Support of Sustainable Development", Yang Berhormat menyatakan bahawa negara mempunyai tujuh puak jati yang berbeza, masing-masing menyumbangkan tradisi, bahasa dan adat resam yang unik kepada masyarakat.  Kumpulan-kumpulan etnik ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya dan perpaduan di negara kita dalam pembangunan mampan.  Justeru juga, ianya penting bagi belia, termasuk yang terlibat dalam menggubal undang-undang, menyumbangkan perspektif dan tenaga unik mereka dalam tujuan ini.



18.09.23 MMN Menghadiri 9th Global Conference of Young Parliamentarians