Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

02.02.23 - Yang Di-Pertua MMN terima Kunjungan Perpisahan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Februari 2023 – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Sujatmiko. Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Hadir sama dalam kunjungan perpisahan tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

Pada kunjungan perpisahan tersebut, kedua-dua belah pihak menghargai hubungan dua hala di antara kedua buah negara dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai Duta di Negara Brunei Darussalam.

Dalam kunjungan tersebut juga ada membincangkan mengenai hal-hal yang mempunyai kepentingan bersama seperti dalam bidang perdagangan, peluang pelaburan dan sekuriti makanan.

Hubungan erat di antara kedua buah negara, terutamanya kerjasama dalam pengurusan sumber tenaga manusia secara inklusif mampu membantu negara dalam bidang kesukanan seperti mendatangkan jurulatih dalam usaha melatih serta membimbing atlet negara.

Tuan Yang Terutama juga merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat yang baharu dan bagi persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang akan berlangsung dalam waktu terdekat.

Kedua-dua belah pihak berharap agar hubungan baik tersebut akan terus kekal dan semakin kukuh di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia.


02.02.23 - Yang Di-Pertua MMN terima Kunjungan Perpisahan