Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

07.12.22 - Majlis Kunjungan Hormat Setiausaha Agung ASEAN-AIPA

Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), Puan Yang Terutama Dayang Siti Rozaimeriyanty binti DSLJ Haji Abdul Rahman, di Bangunan Dewan Majlis.​

Pada kunjungan hormat tersebut, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menyampaikan ucapan tahniah kepada Puan Yang Terutama Dayang Siti Rozaimeriyanty atas lantikan beliau sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan AIPA yang baharu.

 

Negara Brunei Darussalam telah mengambil alih giliran untuk menggalas tanggungjawab jawatan sebagai Setiausaha Agung Ke-6 bagi Pertubuhan AIPA, bermula pada 1 Januari 2023, selama tiga tahun, yang akan ditempatkan sepenuhnya di Jakarta, Indonesia.

 

Antara lain perkara yang dibangkitkan semasa kunjungan hormat tersebut adalah membincangkan strategi utama struktur AIPA mengenai kewibawaan peranan Ketua atau Speaker Parlimen-parlimen ASEAN berkaitan isu-isu yang telah dipersetujui di Perhimpunan Agung AIPA.

 

Ini termasuklah dalam menyelesaikan isu-isu serantau yang sentiasa dibangkitkan oleh orang ramai yang disalurkan kepada parlimen masing-masing. Puan Yang Terutama akan sentiasa memberi dukungan dan kerjasama berganding bahu bersama ASEAN dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa.

 

Selain daripada itu juga, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dengan PYT juga telah bertukar-tukar fikiran mengenai kaedah untuk menambah baik organisasi AIPA, terutama sekali di dalam syarat-syarat kemasukan negara-negara pemerhati.

 

Turut hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar.


07.12.22 - Majlis Kunjungan Hormat Setiausaha Agung ASEAN-AIPA