10.08.26 Penyelarasan Bersepadu Perkukuh Industri Pelancongan Negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos 2026 – Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata isu-isu seperti kesalinghubungan udara dan laut, kelancaran proses di pintu masuk, pengangkutan domestik, kemudahan awam dan kebersihan, penyelarasan kalendar acara, kemudahan pembayaran tanpa tunai (‘cashless payments’), ketersediaan produk yang boleh ditempah secara digital, standard perkhidmatan serta keupayaan perusahaan tempatan merupakan isu rentas kementerian dan rentas sektor. Sekiranya satu bahagian daripada rantaian ini lemah, keseluruhan pengalaman pelawat turut terjejas.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menekankan perkara tersebut semasa Kenyataan Menteri: ‘Memperkasa Industri Pelancongan Sebagai Pemangkin Kepelbagaian Ekonomi Negara dan Seterusnya Menjayakan Inisiatif Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year) 2027’ pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Kali Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, pagi tadi.

Yang Berhormat selanjutnya menjelaskan oleh yang demikian, Jawatankuasa Pandu Tahun Melawat Brunei 2027 yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, serta Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan keahlian dari sektor awam dan swasta berfungsi bukan sahaja sebagai platform penyelarasan acara, tetapi sebagai mekanisme pelaksanaan bersepadu dan juga komitmen pelbagai pihak untuk menangani masalah di setiap peringkat.

Jelas Yang Berhormat, penyelarasan rapat dengan Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Intan juga penting bagi menyatukan usaha dalam memastikan acara nasional, kapasiti industri dan inisiatif promosi saling melengkapi, bukannya bergerak secara berasingan.

“Sebagai langkah awal dalam memperkenalkan dan mempromosi kempen ini, Majlis Pra-Pelancaran Tahun Melawat Brunei 2027 telah berjaya dilaksanakan pada 20 Jun 2026 bertempat di Jerudong Park Garden. Majlis Prapelancaran ini telah diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah merupakan satu penghormatan yang mencerminkan sokongan padu, sekali gus menyuntik impak yang signifikan kepada agenda pelancongan negara. Di majlis tersebut, pelancaran logo rasmi serta maskot ‘Awang’ dan ‘Dayang’ telah menandakan titik permulaan bagi strategi pemasaran dan promosi secara menyeluruh di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.

(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)

BERITA TERKINI