11.08.26 Penyelarasan Kerajaan Penting Pastikan Wawasan Brunei 2035 Berimpak

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos 2026 – Tema Belanjawan tahun ini, ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’, bukan sekadar slogan, malah merupakan amanah, seruan dan peringatan agar setiap keputusan yang dibuat mampu membawa impak positif kepada rakyat.

Perkara tersebut ditekankan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, ketika membentangkan usul penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat, dalam situasi negara yang berdepan dengan defisit fiskal yang ketara, setiap perbelanjaan perlu menghasilkan impak, setiap projek hendaklah membawa hasil dan setiap dasar perlu diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.

Yang Berhormat turut menekankan bahawa perbelanjaan secara berhemah bukan sahaja merupakan satu disiplin, malah menjadi satu kemestian dalam memastikan sumber negara diuruskan secara optimum.

Sehubungan itu, peranan Menteri – Menteri Penyelaras adalah kritikal sebagai penghubung yang menyatukan tindakan kerajaan merentas sektor, di samping memastikan penyelarasan yang dilaksanakan mampu menutup jurang pelaksanaan serta mempercepatkan proses membuat keputusan dan penyampaian hasil yang dapat dirasai oleh rakyat, jelas Yang Berhormat.

Dalam perbahasan terdahulu, Yang Berhormat bersama beberapa Ahli Yang Berhormat telah mengemukakan lima Hasil Nasional (National Outcomes) yang perlu diberikan keutamaan dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035, iaitu pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, keselamatan makanan dan keselamatan tenaga.

Usaha tersebut, terang Yang Berhormat, perlu disokong dengan lima proses pelaksanaan, meliputi kerangka yang jelas, mempercepatkan kelulusan projek, pemadanan tenaga manusia, memberi fokus kepada kualiti dan ketahanan serta mewujudkan dashboard nasional yang telus.

Lima proses berkenaan, menurut Yang Berhormat, merupakan satu bentuk ‘sistem operasi negara’ yang perlu digerakkan oleh Kabinet baharu dan diterajui oleh Menteri-Menteri Penyelaras.

“Walau bagaimanapun, semua strategi dan tindakan tersebut hendaklah berlandaskan kepada dua teras utama yang menjadi asas kejayaan dasar-dasar negara ke arah Wawasan Brunei 2035, iaitu keupayaan negara serta kepercayaan awam dan impak sosial,” ujar Yang Berhormat.

Teras pertama kongsi Yang Berhormat, iaitu keupayaan negara, merujuk kepada kemampuan jentera pentadbiran negara dalam melaksanakan, menyelaras, memantau dan menambah baik dasar secara berkesan.

Dalam usaha mengoptimumkan keupayaan tersebut, Yang Berhormat menegaskan bahawa aspek integriti perlu diperkukuh, birokrasi dikurangkan, pemantauan berterusan dipertingkatkan, pelaksanaan blueprint dipastikan serta Perkhidmatan Awam perlu terus diperkasa supaya lebih cemerlang dan responsif.

Sementara itu, teras kedua, kepercayaan awam dan impak sosial, menurut Yang Berhormat, akan terbina apabila rakyat melihat dasar-dasar negara dilaksanakan secara telus serta memberikan perubahan positif yang nyata dalam kehidupan seharian.

Dalam hubungan ini, terang Yang Berhormat lagi, beberapa aspek perlu diberikan perhatian, termasuk memperkukuh institusi keluarga, menyediakan sokongan dan perlindungan kepada golongan rentan, meningkatkan keselamatan digital serta mempertingkatkan kualiti prasarana awam agar lebih inklusif.

Yang Berhormat turut menarik perhatian dewan terhadap beberapa agenda kritikal yang menjadi asas kepada ketahanan negara dalam jangka panjang dan memerlukan perhatian serta tindakan segera.

Antara agenda berkenaan ialah mempermudah laluan pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), mempercepatkan usaha pembasmian kemiskinan secara bersasar, memperkukuh kesejahteraan sosial dan ketahanan keluarga, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Selain itu, aspek menjamin bekalan tenaga negara serta memperkukuh pendigitalan, pendataan dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara terarah turut ditekankan sebagai antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian, tambah Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa teguran, pandangan dan cadangan penambahbaikan merupakan sebahagian daripada proses kepimpinan yang sihat dan bukannya bertujuan melemahkan institusi, sebaliknya mengukuhkan lagi institusi berkenaan.

Menurut Yang Berhormat lagi, keterbukaan terhadap pandangan Ahli membuktikan bahawa institusi berkenaan telus serta komited dalam menjunjung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar MMN sentiasa berada pada landasan tadbir urus yang berintegriti serta diyakini oleh rakyat.

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menghargai kepimpinan Yang Berhormat Pehin Yang Di-Pertua dalam memandu perbahasan ahli di dewan yang mulia tersebut.

Yang Berhormat turut menyatakan sokongan penuh terhadap Usul Pindaan bagi meneliti dan memperhalusi lagi draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang sedia ada, bagi memastikan kod berkenaan benar-benar berfungsi sebagai instrumen untuk memperkukuh integriti MMN, memelihara keadilan kepada semua ahli serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

Sebagai penutup, Yang Berhormat menjelaskan bahawa semua langkah dan tindakan yang dilaksanakan bukanlah agenda yang terpisah, sebaliknya merupakan langkah bersepadu yang perlu diselaraskan bagi mencapai hasil yang nyata.

Menurut Yang Berhormat, keberkesanan penyelarasan akan dapat dinilai apabila rakyat merasakan urusan perniagaan menjadi lebih mudah, projek disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, peluang pekerjaan berkualiti semakin bertambah, manakala sokongan bersasar dapat disampaikan tepat pada masanya.

“Pada masa yang sama, golongan rentan perlu terus menerima intervensi awal yang responsif, sementara bekalan makanan dan tenaga negara kekal terjamin serta memenuhi keperluan rakyat. Keputusan bergerak kepada tindakan. Tindakan membawa hasil dan hasilnya dirasakan rakyat,” tegas Yang Berhormat.

 

(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)

BERITA TERKINI