BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos 2026 – Kementerian Pembangunan mengambil maklum bahawa kelancaran sesuatu projek memerlukan penyelarasan awal dan berterusan antara agensi pelaksana, agensi teknikal dan penyedia utiliti, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air, UNN dan agensi-agensi berkaitan.
Penyelarasan ini dilaksanakan dari peringkat perancangan dan reka bentuk, pembinaan sehingga pemeriksaan akhir dan pengeluaran sijil penyiapan. Bagi projek kerajaan, Project Implementation Manual (PIM) turut digunakan sebagai rujukan standard dalam pengurusan dan pelaksanaan projek.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman atas soalan mengenai usaha penyelarasan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan negara.
Menurut Yang Berhormat, pemantauan dilaksanakan melalui mesyuarat kemajuan projek dan pemeriksaan secara berperingkat bagi mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu lebih awal iaitu isu yang menjadi penyebab kelambatan.
“Antara faktor yang boleh menyebabkan kelewatan termasuk perubahan skop, kerja tambahan yang memerlukan kelulusan serta keperluan teknikal yang masih belum dipenuhi.
“Oleh itu, pendekatan kementerian adalah untuk memperkukuhkan penyelarasan lebih awal supaya isu-isu tersebut diatasi lebih awal dan bukannya diselesaikan pada penghujung projek sehingga menjejaskan pengeluaran CPC atau CCC,” kongsi Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Mengenai kelewatan pembayaran tambah Yang Berhormat lagi, tuntutan kontraktor dan perunding dipantau supaya diproses mengikut TPOR dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa. Antara punca kelewatan yang dikenal pasti ialah tuntutan yang tidak lengkap atau tidak betul dan memerlukan pembetulan serta tempoh yang diperlukan untuk mengesahkan kerja sebelum pembayaran dapat diperakukan.
Jelas Yang Berhormat, penyelarasan antara pegawai projek, perunding dan kontraktor perlu ditingkat terutama kompetensi pegawai dalam pemprosesan tuntutan dan penggunaan TAFIS 2.0, serta memastikan kontraktor mengemukakan tuntutan yang lengkap dan teratur.
“InsyaaAllah, usaha ini akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kelulusan, pelaksanaan dan penyiapan projek serta proses pembayaran dapat dilaksanakan dengan teratur, tanpa menjejaskan pematuhan kepada keperluan teknikal, kontrak dan tatacara kewangan kerajaan,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita: Pelita Brunei ; sumber gambar: Info Foto, Jbt Penerangan)




