Rabu, 24 Jun 2026, Bangunan Dewan Majlis – Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Di Lantik iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam telah menyertai Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) mengenai Dadah Berbahaya, AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) Kali ke-9 secara dalam talian pada 24 Jun 2026.
Mesyuarat yang bertemakan “Strengthening ASEAN Parliamentary Cooperation to Respond to the Convergence of Drug Trafficking and Related Crimes” dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Republik Filipina (House of Representatives of the Republic of the Philippines) dan telah melibatkan sesi perbincangan berkaitan usaha untuk meningkatkan kesepakatan antara negara-negara ASEAN dalam menangani ancaman rentas sempadan membanteras pengedaran dadah serta jenayah berkaitan.
Semasa mesyuarat tersebut, perwakilan Majlis Mesyuarat Negara telah mengongsikan laporan berkenaan situasi dadah di Negara Brunei Darussalam dan usaha-usaha dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga telah berkesempatan untuk bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik berkaitan cabaran-cabaran di rantau ini yang telah dibentangkan oleh perwakilan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan ASEAN Senior Officials on Drugs Matters (ASOD), serta agensi kesihatan Republik Filipina.
Mesyuarat AIPACODD ke-9 menimbangkan deraf resolusi bertajuk “Strengthening ASEAN Parliamentary Cooperation to Respond to the Convergence of Drug Trafficking and Related Crimes” yang telah dipersetujui untuk dibentangkan semasa Perhimpunan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-47 nanti.




