18.03.26 Memastikan program latihan IPA beri impak kepada perkhidmatan awam

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Berhubung dengan cadangan bagi penunjuk keberkesanan pasca-latihan bagi Institut Perkhidmatan Awam (IPA) selaras dengan usaha berterusan untuk memastikan program latihan memberi impak yang bermakna kepada perkhidmatan awam, pihak IPA giat melaksanakan kajian impak sejak tahun 2022 bagi menilai keberkesanan kursus bagi program yang ditawarkan oleh IPA.

Dapatan awal daripada kegiatan tersebut menunjukkan hasil yang positif iaitu dari segi peningkatan mutu kerja serta produktiviti organisasi dalam kalangan pegawai yang telah mengikuti program latihan yang berkenaan.

Pada masa yang sama melalui Rangka Kerja Pembangunan Kapabiliti Perkhidmatan Awam, PSCDA, kementerian dan jabatan juga akan dapat menilai serta mengukur tahap pembangunan kompetensi pegawai dengan lebih teratur termasuk penilaian setelah menghadiri sebarang program pembangunan. Kerangka ini membantu mengesan penambahbaikan dari semasa ke semasa serta menyokong perancangan pembangunan tenaga kerja yang lebih sistematik dan strategik selaras dengan keperluan organisasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab persoalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai keberkesanan penyampaian perkhidmatan selepas latihan dan seterusnya Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee juga mencadangkan penunjuk keberkesanan pasca-latihan dipertimbangkan, kemungkinan melalui kerjasama dengan kementerian-kementerian berkenaan supaya kita dapat menilai dengan lebih baik bagaimana program-program ini menyumbang kepada transformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh.

Pada Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2026/2027) pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II seterusnya mengongsikan dari segi aplikasi kemahiran di tempat kerja dan impaknya terhadap prestasi organisasi, adalah ditekankan bahawa penilaian prestasi pegawai/kakitangan perkhidmatan awam yang dilaksanakan melalui penilaian setiap tiga bulan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan peningkatan kemahiran dan menyokong kesinambungan program-program latihan dan pembangunan yang tersedia yang bersesuaian.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI