BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai pelaksanaan Manpower Blueprint yang diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bersama pihak Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) bagi memastikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya Matlamat 1, dapat dilaksanakan dengan berkesan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menjelaskan perkara tersebut disokong dengan kerangka pemantauan dan pengukuran prestasi yang jelas.
Pertama Yang Berhormat Menteri Pendidikan, dari segi pengukur aspirasi di peringkat antarabangsa, kemajuan pembangunan modal insan negara dipantau melalui Global Talent Competitiveness Index (GTCI), iaitu satu indeks global yang menilai keupayaan sesebuah negara untuk membangun, menarik dan mengekalkan bakat berkualiti tinggi melalui beberapa dimensi utama seperti Enable, Attract, Grow, Retain, Vocational and Technical Skills serta Global Knowledge Skills.
“Kedua, di peringkat nasional, pelaksanaan Manpower Blueprint dipandu oleh satu struktur yang holistik yang merangkumi empat aspirasi utama, iaitu Pendidikan dan Latihan Dinamik; Rakyat yang Siap Siaga Masa Depan; Pembangunan Modal Insan yang Efektif; dan Pemudahcara Sistem Dukungan dan Struktur,” ujar Yang Berhormat semasa pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat menambah, 13 hasil strategik dan 15 haluan dasar yang memandu pelaksanaan inisiatif; enam National Key Performance Indicators (NKPI) yang memantau pencapaian pembangunan tenaga manusia di peringkat makro; serta 24 Action Key Performance Indicators (AKPI) yang memantau keberkesanan pelaksanaan inisiatif secara lebih terperinci di bawah setiap aspirasi.
Menurut Yang Berhormat lagi, struktur ini membolehkan kemajuan pelaksanaan Manpower Blueprint dipantau secara berperingkat, berasaskan data dan berfokus kepada hasil.
Ketiga pula tambah Yang Berhormat, bagi memastikan Manpower Blueprint responsif terhadap cabaran masa hadapan, beberapa AKPI baharu juga telah diperkenalkan bagi memperkukuhkan pelaksanaan, antaranya peratus pelajar institusi pengajian tinggi yang mempunyai kemahiran dalam teknologi baharu dan kelestarian, bagi memastikan graduan dilengkapi kemahiran seperti Artificial Intelligence, Data Science dan inovasi hijau; Program Sahsiah Pelajar (PSP), yang mengukur tahap penglibatan aktif sekolah dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan dan nilai; Pemantauan kes disiplin pelajar, termasuk insiden buli, pergaduhan dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.
Selain itu kata Yang Berhormat lagi, kadar belia NEET (Not in Employment, Education or Training) bagi memantau golongan belia yang berisiko terpinggir daripada sistem pendidikan dan pasaran pekerjaan; dan Indeks Kesediaan Smart Education (SERI) yang menilai tahap kesiapsiagaan institusi pendidikan dalam menghadapi transformasi teknologi dan Revolusi Industri Ke-4.
Di samping itu tambah Yang Berhormat, bagi beberapa indikator baharu ini, data tahun 2026 akan dijadikan sebagai penanda aras bagi memperkukuhkan pemantauan berasaskan bukti (evidence based) terhadap pelaksanaan Manpower Blueprint.
Melalui pengukur aspirasi di peringkat global jelas Yang Berhormat lagi, struktur NKPI dan AKPI yang komprehensif, serta indikator baharu yang lebih responsif terhadap keperluan masa hadapan, insyaaAllah, dengan izin-Nya jua, Manpower Blueprint akan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


