17.03.26 Usaha memperkukuh ekosistem pelaburan terus dipergiatkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Usaha untuk memperkukuhkan ekosistem pelaburan akan terus dipergiatkan, termasuk melalui penambahbaikan persekitaran perniagaan, pengukuhan kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan agar selaras dengan keperluan industri.

Dalam memperkukuh usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI), pihak kerajaan kini melaksanakan pendekatan yang lebih matang dan strategik.

Pendekatan ini melibatkan satu peralihan dalam strategi penarikan pelaburan, yang tidak lagi hanya tertumpu kepada promosi peluang pelaburan secara umum tetapi kini memberi penekanan kepada penyediaan dan pembentangan projek pelaburan yang telah dikenal pasti, tersusun, dan sedia untuk dilaksanakan, yang menggambarkan posisi Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam rantaian nilai serantau.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dalam Rumusan Perbahasan Peringkat Dasar pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, projek yang di promosi kepada pelabur kini disokong oleh maklumat yang lebih menyeluruh termasuk data ketersediaan tapak industri, infrastruktur dan utiliti, rangkaian pembekal tempatan serta ketersediaan tenaga kerja mahir.

Dengan adanya maklumat ini tambah Yang Berhormat, pelabur dapat menilai peluang pelaburan dengan lebih jelas, sekali gus meningkatkan kepastian (certainty), mengurangkan risiko, dan mempercepatkan proses membuat keputusan pelaburan.

Pendekatan ini ujar Yang Berhormat, dapat dilihat dalam fasa pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Pulau Muara Besar. Syarikat Hengyi Industries, yang mana telah beroperasi lebih dari enam tahun, telah mewujudkan ekosistem industri yang matang, termasuk kemudahan infrastruktur seperti loji jana kuasa, jeti dan logistik serta kemudahan rawatan air.

Ketersediaan infrastruktur dan ekosistem ini terang Yang Berhormat, kini dimanfaatkan oleh Brunei Economic Development Board (BEDB) untuk menarik minat pelabur produk-produk hiliran seperti ‘aniline, isopropyl alcohol’ dan sebagainya, sekali gus membolehkan projek baharu dilaksanakan dengan lebih cepat dan kos yang lebih kompetitif.

“Selain itu, pendekatan yang sama turut diterapkan dalam pembangunan sektor makanan melalui inisiatif seperti ‘Brunei-Singapore Agri Tech Food Zone’ (BN-SG ATFZ). Inisiatif ini memanfaatkan kekuatan kedua-dua belah pihak, di mana NBD menyediakan tapak serta persekitaran industri permakanan, manakala Republik Singapura menyumbang kepakaran industri, rangkaian pasaran serta akses kepada ekosistem makanan yang lebih luas,” ujar Yang Berhormat lagi.

Jelas Yang Berhormat, secara keseluruhannya, pendekatan ini memastikan pelabur bukan sahaja melihat potensi peluang pelaburan, tetapi juga projek yang telah dibangunkan secara lebih terancang dengan model perniagaan yang jelas serta kedudukan yang kukuh dalam rantaian nilai serantau.

Melalui pendekatan yang lebih bersepadu ini kata Yang Berhormat, pelaburan yang dibawa masuk berpotensi menjana rantaian nilai yang lebih kukuh merentasi pelbagai sektor, di samping membuka peluang yang lebih luas kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta industri sokongan untuk turut terlibat dalam rantaian bekalan dan aktiviti nilai tambah.

Pendekatan ini menurut Yang Berhormat, membolehkan pelaburan asing bukan sahaja membawa masuk modal ke dalam negara, malah menyumbang secara lebih bermakna kepada usaha kepelbagaian ekonomi, pembangunan perusahaan tempatan serta pewujudan peluang pekerjaan yang berkualiti.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI