17.03.26 Terus meningkatkan kualiti, kecekapan pengurusan haji, umrah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, mengongsikan di bawah Tajuk Pemeliharaan Promosi Harta, sebanyak BND29,025,560 diperuntukkan, iaitu 10.4 peratus daripada peruntukan keseluruhan.

Semasa menyampaikan Perbahasan Peringkat Dasar pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat menjelaskan, peruntukan ini adalah bagi melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan ugama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ‘proper’ dan beberapa jabatan yang berkenaan yang dibawahnya, iaitu Jabatan Urusan Haji, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal dan Majlis Ugama Islam Brunei.

Berdasarkan peruntukan yang telah diberikan pada Tahun Kewangan 2025/2026 sekarang tambah Yang Berhormat, KHEU antaranya telah berjaya melancarkan sistem BruHaj pada 20 Januari 2025.

Sistem ini menurut Yang Berhormat, telah banyak membantu mempermudahkan pendaftaran haji secara dalam talian dengan lebih mudah dan efisien, di mana antara impak positif daripada sistem tersebut ialah apabila Negara Brunei Darussalam (NBD) telah diberikan pengiktirafan dan penganugerahan Silver Award dalam Anugerah Tertinggi Labaytum oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Penganugerahan yang berprestij ini terang Yang Berhormat, adalah bukti bahawa kualiti pengurusan haji NBD adalah di antara pengurusan yang terbaik. Selain itu, sistem ini juga telah memberikan kesan yang sangat positif dari sudut pendaftaran haji yang lebih sistematik dan teratur.

Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, setakat pertengahan bulan Mac 2026, sudah terdapat seramai 9,672 orang mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, dan berdasarkan kepada kuota yang ada pada masa ini, mereka dijangkakan akan dapat menunaikan ibadah haji pada tahun 2046 sehingga 2059.

Jadi kerana itu menurut Yang Berhormat, peluang pendaftaran secara mudah seperti ini patutlah dipergunakan oleh golongan rakyat penduduk yang berusia sekitar remaja membawa kepada golongan 40-an.

Sebagai kesinambungan perkara ini tambah Yang Berhormat, KHEU dan dengan sokongan kerjasama serta persefahaman dengan operator-operator haji dan umrah akan terus meningkatkan kualiti dan kecekapan pengurusan haji dan juga umrah di luar musim haji dari segi perancangan, pengangkutan, bimbingan haji dan penjagaan kesihatan jemaah haji serta perkara-perkara yang berkaitan sesuai dengan peruntukan Kewangan Tahun 2026/2027 sekarang.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI