BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman menyatakan keyakinan bahawa Belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 serta belanjawan-belanjawan akan datang mampu menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035, sekiranya tumpuan terus diberikan kepada pencapaian matlamat wawasan berkenaan.
Menurutnya, perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang perlahan ketika ini, situasi konflik global yang menjejaskan rantaian bekalan (‘supply chain’), sekali gus memberi kesan kepada pengangkutan dan pelaburan luar negara.
Selain itu, semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi turut menyentuh cabaran perubahan iklim yang kini semakin dirasai dan berpotensi menjejaskan perancangan negara.
Tegasnya, Wawasan Brunei 2035 tidak akan mudah dicapai sekiranya masyarakat masih berada dalam zon selesa (‘comfort zone’) dan terus bergantung kepada hasil minyak dan gas semata-mata seperti yang dinikmati sejak tahun 1970-an, di mana lebih separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbangkan oleh sektor tersebut.
Kini, hasil minyak dan gas semakin berkurangan. Justeru, usaha mempelbagaikan ekonomi perlu dilaksanakan dengan lebih giat dan disegerakan kerana tiada alternatif lain selain daripada memperkukuh kepelbagaian ekonomi.
Yang Berhormat turut menyatakan bahawa beberapa negara di rantau ASEAN berjaya keluar daripada garis kemiskinan melalui kepelbagaian ekonomi, dan yakin Negara Brunei Darussalam yang berada dalam kedudukan lebih baik mampu menyaingi pencapaian tersebut.
Bagi mencapai kestabilan ekonomi, Yang Berhormat menyokong pelaburan dalam pembangunan sumber manusia melalui pendidikan dan latihan, serta peningkatan kecekapan perkhidmatan kerajaan agar dapat melahirkan generasi yang inovatif, kreatif, progresif, berimpak tinggi serta celik ICT dan Kecerdasan Buatan (AI).
Menurutnya, generasi sedemikian mampu meneroka dan mengembangkan industri berpotensi besar seperti industri hiliran minyak dan gas, agromakanan, akuakultur dan perikanan, industri pembinaan, pelancongan serta ekonomi digital.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026/2027 yang memberi fokus kepada beberapa perkara utama, iaitu pertama, pelaksanaan kepelbagaian ekonomi secara aktif dan berkesan dalam sektor yang dikenal pasti mampu menyumbang kepada peningkatan KDNK seperti industri hiliran minyak dan gas, pengeluaran makanan, perkhidmatan pelancongan dan ICT.
Kedua, pelaburan dalam pendidikan bagi melahirkan generasi berpendidikan tinggi dan bersedia menghadapi pekerjaan masa hadapan yang memerlukan kepakaran dalam ICT dan AI.
Ketiga, pelaburan dalam meningkatkan tahap kecekapan penjawat awam agar dapat melaksanakan tugas secara cekap, berintegriti, profesional dan inovatif, sekali gus menjadi aset penting kepada kementerian dan jabatan masing-masing.
Keempat, penyediaan kemudahan awam yang berkualiti seperti bekalan tenaga elektrik dan air, jalan raya, perumahan serta sistem pengangkutan awam yang selesa dan selamat.
Kelima, pelaburan dalam sektor kesihatan termasuk penyediaan kemudahan hospital dan klinik serta tenaga kerja yang mencukupi.
Yang Berhormat turut menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan telah diperuntukkan sebanyak BND646 juta dalam belanjawan tahun ini sebagai usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


