16.03.26 Pelan strategik KHEDN berteraskan keselamatan, kesejahteraan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah merangka serta menyusun pelbagai inisiatif mengikut keutamaan yang ditetapkan selaras dengan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 2023-2027 yang berteraskan keselamatan dan kesejahteraan, bagi mendukung tema Belanjawan Negara iaitu ‘Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035’ dengan berpandukan tiga fokus utama Belanjawan Negara yang telah ditetapkan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman pada Perbahasan Peringkat Dasar bagi Rang Undang-undang dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, peranan kementerian merangkumi beberapa bidang utama, antaranya, kawalan imigresen dan pendaftaran kebangsaan, pengawalseliaan tenaga kerja serta pemeliharaan persekitaran pekerjaan di sektor swasta, keselamatan, menangani kebakaran dan operasi penyelamatan, pengurusan bencana, pengurusan institusi penjara serta pentadbiran daerah dan perbandaran.

“Pendekatan ini dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemimpin di peringkat akar umbi berteraskan visi kementerian iaitu ‘Bersama Mengekalkan Brunei Darussalam Yang Aman, Makmur dan Dinamik’,” jelas Yang Berhormat.

Menyentuh mengenai fokus pertama Belanjawan Negara iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan. KHEDNdan jabatan-jabatan di bawahnya telah melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan penggunaan sumber kewangan secara lebih berhemah dan efisien.

Antaranya termasuk pelaksanaan pajak sewa bagi kenderaan operasi jabatan sebagai sebahagian daripada inisiatif Fiscal Consolidation Program, ini termasuklah inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan di tahun-tahun kewangan yang lalu yang pernah Yang Berhormat kongsikan semasa Mesyuarat MMN pada tahun 2025.

Dalam menyokong fokus kedua Belanjawan Negara iaitu memperkasa ekonomi melalui transformasi dan inovasi, kementerian jelas Yang Berhormat turut memberi penekanan kepada usaha pendigitalan proses kerja serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Antaranya inisiatif utama ialah perlaksanaan Projek One MOHA System yang akan merangkumi komponen sistem pengurusan kecemasan yang bersepadu dan efisien yang melibatkan orang ramai dan pendigitalan proses kerja dalaman kementerian serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Selain itu tambahnya, sistem Immigration and National Registration System (INRS) di bawah Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan turut dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan maklumat Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Di samping mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, sistem ini merangkumi beberapa modul utama seperti kad pengenalan, pengurusan sempadan, visa dan pas kewarganegaraan, permit masuk, pendaftaran kelahiran kematian dan anak angkat serta penguatkuasaan undang-undang.

Setakat ini, enam modul telah pun digunakan, manakala yang lain masih diperingkat uji cuba dan dijangka siap dalam Tahun Kewangan 2026/2027 ini.

Di samping itu, kementerian juga ujar Yang Berhormat lagi, turut melaksanakan penyatuan penyelenggaraan bagi sistem INRS dengan National Labour Management System (NMLS).

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, meperkukuh tadbir urus sistem serta memastikan infrastruktur ICT sentiasa berada pada tahap optimum dan selamat.

“Inisiatif ini juga membantu memastikan keselamatan rangkaian dan sistem sentiasa terpelihara daripada ancaman siber serta mengurangkan risiko gangguan terhadap sistem kritikal Kementerian,” tambah Yang Berhormat.

Dengan penyatuan penyelengaraan ini, ia turut menyokong fokus pertama Belanjawan Negara iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI