BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Ahli MMN, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin menyatakan Pensijilan halal Brunei merupakan kelebihan strategik negara.
Yang Berhormat percaya bahawa jenama Halal Brunei mempunyai kredibiliti bagi pengguna pengguna Islam negara khususnya pasaran negara Islam, OIC.
“Ke hadapan bagaimana kita dapat mempromosikan sebagai jenama premium bagi produk Brunei bernilai tambah tinggi. Kaola berpendapat bahawa promosi yang lebih strategik serta penjelasan antara piawaian halal dan dasar eksport akan membantu menterjemahkan jaminan kualiti kepada pertumbuhan eksport yang mampan,” ujar Yang Berhormat.
Mengenai dengan projek-projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara, Yang Berhormat menjelaskan, keutamaan projek pembangunan perlu ditentukan secara strategik supaya impaknya kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dimaksimumkan.
Melihat kepada bilangan projek yang masih berada dalam peringkat reka bentuk iaitu sebanyak 91 projek, Yang Berhormat ingin mengetahui bagaimana keutamaan projek-projek itu ditentukan agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan dan benar-benar selaras dengan keutamaan pembangunan di bawah Wawasan Brunei 2035.
Walau bagaimanapun, Yang Berhormat bersyukur atas pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur yang dirancang seperti pembinaan bangunan baharu, tambahan sekolah, pembinaan masjid serta penaiktarafan fasiliti-fasiliti sukan yang diharap akan memberikan manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kualiti kehidupan kita semua juga.
Yang Berhormat juga melihat sektor pertanian sebagai salah satu sektor kepelbagaian ekonomi yang penting di samping menyumbang kepada keselamatan makanan dan kestabilan kos sara hidup.
“Dalam hubungan ini, dengan sasaran untuk meningkatkan tahap sara diri beras negara daripada sekitar 8 peratus kepada sehingga 20 peratus menjelang 2027 adalah satu langkah yang dialu-alukan.
Peruntukan di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan seperti skim pembelian padi, penyediaan benih serta peningkatan infrastruktur dan teknologi pertanian adalah diharap dapat memperkukuh rantaian nilai industri makanan negara.
“Namun bagi memastikan sasaran ini benar-benar dapat dicapai secara mampan, kaola berpendapat bahawa sokongan berterusan melalui insentif bersasar ‘targeted incentive’, pemodenan sektor pertanian, pengusaha-pengusaha subsidi untuk pertanian, subsidi pengagihan baja yang cekap dan telus juga adalah penting bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” jelas Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


